Banjir di Kedah belum surut

Anggota APM Pendang melakukan pemantauan paras air di Sungai Mati Tobiar, Pendang pada Selasa. Foto: Ihsan APM
Anggota APM Pendang melakukan pemantauan paras air di Sungai Mati Tobiar, Pendang pada Selasa. Foto: Ihsan APM
A
A
A

ALOR SETAR - Bilangan mangsa banjir di Kedah kekal setakat jam 4 petang Selasa dengan satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di satu daerah yang terjejas.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, Pendang masih mencatatkan seramai 140 mangsa daripada 36 keluarga.

"Kesemua mangsa dari kampung terjejas di mukim Guar Kepayang, Ayer Putih, Padang Peliang, Padang Pusing dan Bukit Raya masih ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah.

"Mukim Guar Kepayang masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu seramai 109 mangsa melibatkan penduduk Kampung Banggol Besi, Kampung Alor Punti, Kampung Tanjung Radin dan Kampung Tanah Merah Dalam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, Yuslina memberitahu, paras air sungai setakat jam 4 petang menunjukkan penurunan pada 2.87 meter (m) berbanding 2.9 m pada jam 8 malam Insin.

Beliau berkata, keadaan terkini menunjukkan keadaan mendung serta air belum surut sepenuhnya dan pemantauan akan terus dilakukan di kawasan banjir dan paras air Sungai Pendang.

Katanya, air di beberapa kampung seperti Kampung Banggol Besi, Kampung Tok Pauh, Kampung Alor Ali, Kampung Titi Kera dan Kampung Sungai Mati menunjukkan trend penurunan tetapi hanya sedikit.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah menunjukkan sedikit peningkatan setakat jam 8 malam.

Artikel Berkaitan: