Bekas Timbalan Menteri MOTAC meninggal dunia

Guan Dee Koh Hoi
Guan Dee Koh Hoi
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi meninggal dunia pada Selasa.

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.45 petang di Hospital Kuala Lumpur.

Guan Dee, 67, dimasukkan ke hospital pada jam 5 pagi oleh pembantunya selepas mengadu sakit di bahagian dada.

Mendiang berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional (PN) pada malam Isnin lalu namun tidak hadir selepas didapati positif Covid-19.

Sementara itu, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyatakan perasaan sedihnya apabila mendengar berita itu dan beliau percaya parti kehilangan seorang pahlawan dan ahli paling berharga.

"Dia adalah rakan sekutu saya yang paling setia dan kawan paling saya sayangi. Dia telah bersama saya melalui susah dan senang walaupun ketika saya tiada apa-apa, dia tidak pernah meninggalkan saya. Sangat sukar untuk menggantikannya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jeffrey turut memaklumkan kali terakhir bercakap dengan mendiang pada jam 10 pagi tadi apabila dia menghubunginya dari hospital.

"Dia beritahu, baik-baik saja dan tidak perlu risau. Dia memberi jaminan kepada saya, dia akan keluar (hospital) dalam masa tiga atau empat hari lagi. Ini betul-betul melukakan hati saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, menurut Setiausaha Sulit Jeffrey, Rizal Johari, keluarga mendiang sudah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur kecuali isterinya yang juga positif Covid-19.