X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Sabah, Sarawak bakal terima 100 tapak 4G LTE baharu

A
A

KUALA LUMPUR - Celcom Axiata Bhd (Celcom) dengan kerjasama ZTE Corporation (ZTE), menyasar untuk mengoptimumkan 100 tapak rangkaian dalam usaha memberikan pengalaman 4G yang lancar di Sabah dan Sarawak.

Celcom akan melaksanakan teknologi L900 mulai November 2021 sebagai persediaan bagi penamatan rangkaian 3G menjelang hujung tahun ini, jelas kedua-dua syarikat itu dalam kenyataan bersama pada Selasa.

Menurut Celcom dan ZTE, penggunaan L900 menyediakan penyelesaian segera bagi penambahbaikan 4G di kawasan luar bandar yang sukar dihubungi dan membolehkan pengguna mendapatkan kesalinghubungan yang lancar untuk pengalaman Internet yang lebih baik.

“Ia juga akan menyediakan kuasa penembusan dalam bangunan yang lebih baik, sekali gus membolehkan penghantaran data dan perkhidmatan Voice over LTE (VoLTE) yang lebih mantap di 100 tapak yang disasarkan,” kata kedua-dua syarikat itu.

Pada April 2021, Celcom dan ZTE telah menggabungkan kepakaran teknologi dan kemahiran dalam melaksanakan inisiatif menaiktaraf 4G LTE bagi 70 tapak di Sabah dan Sarawak, melalui penggunaan jalur lebar L1800.

Inisiatif penambahbaikan ini telah menyelesaikan isu peningkatan trafik data dengan segera dan meningkatkan kualiti liputan di kawasan terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, Celcom menjalankan optimisasi rangkaian secara berterusan untuk meningkatkan liputan, kapasiti, dan keutuhan rangkaian melalui pelaburan yang dipacu dengan fokus di tempat-tempat yang amat memerlukan, khususnya di kawasan pedalaman di negara ini.

“Mempunyai rakan teknologi yang berpengalaman dan berkemahiran seperti ZTE akan memacu usaha kami dengan lebih pantas, bagi memenuhi aspirasi kami dalam menyokong cita-cita kerajaan melalui Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta menyediakan kesalinghubungan yang konsisten dan inklusif bagi seluruh rakyat Malaysia,” kata Idham.

Sementara itu, Pengarah Urusan ZTE Malaysia, Steven Ge pula berkata, syarikat akan terus menyokong cita-cita Celcom dalam menghubungkan pelanggan melalui rangkaian berkualiti tinggi, melalui kerjasama pemantauan optimisasi rangkaian, prestasi rangkaian, dan pengalaman pelanggan selepas penamatan era 3G, bagi menyediakan pengalaman optimum kepada pelanggan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!