X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

MAFI sumbang 11 tan bekalan makanan haiwan

Ronald Kiandee. - Foto fail Bernama
A
A

AMPANG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyumbang sebanyak 11 tan bekalan makanan haiwan kepada jabatan dan agensi termasuk Zoo Negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sumbangan bernilai RM106,000 itu adalah berupa produk daging sejuk beku hasil rampasan yang telah dilucutkan hak membabitkan kes dari September hingga Oktober 2021.

Menurutnya, selain Zoo Negara, turut mendapat sumbangan ialah Penjara Marang, Terengganu; Penjara Penor, Kuantan, Pahang; Penjara Machang, Kelantan dan National Wildlife Rescue Center (NWRC), Perak di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Penerima terbesar untuk sumbangan kali ini iaitu hampir 2,000 kilogram diberi kepada Zoo Negara.

"Secara keseluruhannya, setakat Oktober untuk tahun ini, sumbangan seberat 146 tan produk daging sejuk beku dengan nilai rampasan RM2.33 juta adalah produk yang dibawa masuk secara tidak sah dari pelbagai negara.

"Kesemua serahan itu adalah hasil daripada sitaan terhadap pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses lucut hak di bawah kesalahan subseksyen 11(1) dan 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin danPemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan tersebut di Zoo Negara, di sini, pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri MAFI 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah Maqis, Shamsul Akbar Sulaiman.

Ronald berkata, beliau berharap inisiatif sumbangan bekalan makanan haiwan di bawah program MAFI Prihatin itu dapat dilakukan secara berterusan dan seterusnya membantu meringankan beban pihak terlibat menampung sumber bekalan makanan haiwan dan ternakan ikan di bawah seliaan mereka.

Katanya, MAFI melalui Maqis komited melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memberikan sumbangan kepada mana-mana agensi yang memerlukan seperti pihak zoo dan penjara.

"Produk sitaan yang disumbangkan itu akan dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli bagi projek rehabilitasi banduan di penjara serta sumber makana haiwan di zoo dan pusat konservasi hidupan liar," ujarnya.

Pada masa sama, Ronald berkata, MAFI mengambil serius pelaksanaan undang-undang negara bagi memastikan isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit merbahaya yang boleh mengancam sektor pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal di kesemua pintu negara.

Beliau berkata, daripada keseluruhan rampasan daging sejuk beku di seluruh negara pada tahun ini, Kelantan merekodkan jumlah tertinggi dengan rampasan seberat 74 tan bernilai RM692,838.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!