AIGA penanda aras tingkat integriti, bebas rasuah

Mohd Zuki (kiri) dan Wan Rosdy (tengah) mengucapkan tahniah kepada organisasi atau jabatan yang menerima anugerah pada penyampaian AIGA 2020 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang pada Selasa.
Mohd Zuki (kiri) dan Wan Rosdy (tengah) mengucapkan tahniah kepada organisasi atau jabatan yang menerima anugerah pada penyampaian AIGA 2020 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Penganjuran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 akan menjadi penanda aras untuk memastikan negara bebas rasuah khususnya dalam tadbir urus organisasi sama ada pada sektor awam mahupun swasta.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, AIGA adalah satu projek rintis yang dijalankan di peringkat negeri Pahang sebelum pelaksanaannya diperluaskan di peringkat nasional pada masa akan datang.

Menurutnya, pelaksanaan anugerah ini bertepatan dengan aspirasi yang telah digariskan dalam Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) Malaysia yang dikenali kerana integriti dan bukannya amalan rasuah.

"Jadi, anugerah ini bertitik tolak kepada persoalan asas iaitu bagaimana mekanisme yang terbaik untuk mengukur sejauh mana usaha integriti dan tadbir urus dalam sesebuah organisasi dapat memberi impak yang signifikan.

"Walaupun terdapat banyak usaha dalam memastikan sesebuah organisasi itu mempunyai tadbir urus yang baik, tetapi apakah indikator terbaik yang boleh digunapakai bagi mengukur keberhasilan pelaksanaannya.

"Disebabkan itu, tercetus idea pelaksanaan anugerah ini sebagai mekanisme penilaian dan seterusnya sebagai platform kepada penghargaan terhadap usaha-usaha yang telah dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian AIGA 2020 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang pada Selasa.

Majlis penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zuki menjelaskan, penganugerahan ini tidak tertumpu kepada inisiatif sesebuah organisasi sahaja, tetapi lebih memfokuskan kepada penerimaan dan pemahaman setiap warga kerja dalam organisasi.

Sehubungan itu, kata beliau organisasi seharusnya dapat melahirkan warga berintegriti dan bebas rasuah serta dapat memastikan kelancaran dalam pengurusan.

"Kita yakin usaha ini dapat membantu kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah dan menjadikan negara lebih baik daripada tahun sebelumnya," kata beliau.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, AIGA adalah satu inisiatif meningkatkan pembudayaan integriti dan tadbir urus, menerusi pemberian pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta untu menzahirkan komitmen dalam pembudayaan integriti, tadbir urus terbaik, serta antirasuah dalam organisasi.

"Kita berharap anugerah ini dapat dilaksanakan di peringkat kebangsaan pula kerana ia dilihat sebagai pertandingan yang dapat memberi banyak impak positif khususnya sebagai pemangkin untuk menggalakkan amalan integriti dalam setiap organisasi," katanya.