30 organisasi penyumbang MWM 2021 diraikan

Chamil bergambar bersama para penyumbang MWM 2021 ketika Majlis Meraikan Para Penyumbang, pada Selasa. Turut hadir, Ahli-ahli Pemegang Amanah MPI Datuk Mustapa Omar, Datuk Yong Soo Heong dan Dr Mohamad Safar Hasim. - Foto Bernama
Chamil bergambar bersama para penyumbang MWM 2021 ketika Majlis Meraikan Para Penyumbang, pada Selasa. Turut hadir, Ahli-ahli Pemegang Amanah MPI Datuk Mustapa Omar, Datuk Yong Soo Heong dan Dr Mohamad Safar Hasim. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysian Press Institute (MPI) pada Selasa menerima replika cek daripada pelbagai organisasi sebagai simbolik sumbangan untuk penganjuran majlis Malam Wartawan Malaysia (MWM 2021) yang dijadualkan berlangsung pada 30 November ini.

Replika cek itu disampaikan kepada Pengerusi MPI, Datuk Dr Chamil Wariya dalam satu majlis khas di sebuah hotel di sini bagi meraikan 30 organisasi yang menghulur sumbangan untuk menjayakan MWM 2021 itu.

Chamil Wariya berkata, secara kolektif MPI menerima sumbangan dan tajaan bernilai RM390,000 untuk menganjurkan MWM 2021.

“MPI amat menghargai sokongan berterusan yang dihulurkan oleh badan-badan korporat, agensi-agensi kerajaan Pusat dan Negeri yang tidak jemu-jemu tampil apabila dipohon untuk menghulurkan sumbangan,” katanya ketika berucap di Majlis Meraikan Para Penyumbang MWM 2021.

Selain itu menurutnya, majlis itu juga diadakan untuk menerima tajaan RM300,000 oleh Petronas yang akan diberi kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2020.

Chamil berkata, Petronas turut bersetuju untuk menaja HKM untuk tempoh tiga tahun lagi bermula 2020 hingga 2022 dengan mengekalkan jumlah tajaan RM300,000 untuk 18 kategori yang akan dipertandingkan dengan tiga pemenang iaitu emas, perak dan gangsa yang masing-masing akan membawa pulang hadiah sebanyak RM10,000, RM1,500 dan RM1,000 selain sijil dan trofi.

“MPI telah mengundang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai tetamu kehormat dan maklumat awal yang saya terima dari pejabat Perdana Menteri ialah beliau akan hadir, Insya-ALLAH,” katanya.

Beliau turut berharap program mengiktiraf karya-karya kewartawanan ini dapat dikembalikan ke tempat asalnya tahun depan selain turut mengumumkan bahawa penyertaan untuk HKM MPI-ETRONAS 2021 telah dibuka. - Bernama

Artikel Berkaitan: