Anak syarikat GLC dikesan terlibat salah laku

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN – Sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pahang dikesan terlibat dalam salah laku membabitkan tadbir urus sehingga mengalami kerugian puluhan juta ringgit.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, salah laku itu dikesan selepas beliau mengarahkan audit forensik dilakukan ke atas GLC berkenaan.

Menurutnya, audit forensik adalah perkara biasa jika kerajaan negeri mendapati berlaku ketirisan yang tidak wajar berdasarkan perolehan GLC berkenaan.

“Ada satu syarikat GLC yang saya arah supaya melakukan audit forensik selepas mendapati aktiviti berjalan, perniagaan berjalan, tetapi (merekodkan) kerugian berpuluh juta ringgit.

“Saya rasakan tadbir urus syarikat ini seolah ada yang tidak betul. Apabila audit forensik dilakukan, ada pihak pengurusan GLC itu meletakkan jawatan serta-merta. Jadi, kita tidak mahu perkara seperti ini terus berlaku sebab yang menanggung kerugian adalah kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 peringkat Pahang di Kompleks Yayasan Pahang pada Selasa.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Ditanya sama ada terdapat GLC Pahang berada dalam ‘senarai merah susulan tindakan diambil ke atas GLC itu sebelum ini, Wan Rosdy berkata, keseluruhannya semua anak syarikat kerajaan negeri diuruskan dengan baik dan terkawal.

“Semua Ok (dalam keadaan baik), tapi perlu tambah baik dan setakat ini tidak ada mana-mana GLC yang berada dalam ‘list’ pemerhatian serta angka tidak pernah berbohong.

Artikel Berkaitan:

“Seperti tahun 2019, sejumlah RM19 juta keuntungan dicatatkan GLC diserahkan kepada kerajaan dan jumlahnya meningkat kepada lebih RM20 juta tahun lalu.

“Untuk tahun ini pula, GLC Pahang dapat menyumbang sejumlah RM52 juta kepada kerajaan negeri, maknanya boleh dikatakan cemerlang, tapi kita jangan pula berada dalam zon selesa,” katanya.

Wan Rosdy optimis ia merekodkan perolehan RM1 bilion bagi pendapatan kerajaan negeri tahun hadapan.

Tambahnya, kadar ketirisan perolehan dan isu membabitkan tadbir urus kerajaan negeri sudah dapat diatasi secara konsisten sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar.

“Ketika saya mula dilantik Menteri Besar Pahang pada tahun 2018, Kerajaan Pahang mencatatkan kutipan hasil lebih RM600 juta dan tahun 2019 pula sebanyak RM700 juta.

“Peningkatan hasil kutipan tahun lalu RM800 juta dan saya sudah maklumkan kepada Datuk SS (Sallehuddin), sasarkan tahun hadapan RM1 bilion," katanya.