Kerajaan sediakan SOP ketat kawal kemasukan 32,000 pekerja asing

Kerajaan akan menyediakan SOP yang ketat sebelum menerima 32,000 pekerja asing untuk sektor perladangan sawit di seluruh negara. - Gambar hiasan
Kerajaan akan menyediakan SOP yang ketat sebelum menerima 32,000 pekerja asing untuk sektor perladangan sawit di seluruh negara. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum menerima 32,000 pekerja asing untuk sektor perladangan sawit di seluruh negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihak majikan pula akan memastikan semua pekerja mereka telah divaksinasi sepenuhnya dengan kos yang ditanggung sepenuhnya oleh majikan.

“Kerajaan Indonesia juga menyambut baik prosedur yang ditetapkan untuk rakyat negara itu bekerja di sini.

“SOP kemasukan pekerja asing yang bakal dikuatkuasakan itu akan menumpukan kepada pengambilan pekerja asing di sektor perladangan sawit terlebih dahulu.

“Segala kos bagi membawa masuk pekerja asing ke negara ini adalah di bawah tanggungjawab majikan bagi setiap kelulusan yang diperoleh.

“Bagi sektor ini juga, pekerja asing dari Indonesia boleh dibawa masuk terlebih dahulu, diikuti dengan negara-negara sumber lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Malaysia sudah bersedia untuk membenarkan kemasukan seramai 32,000 pekerja ladang asing termasuk dari Indonesia.

Pada 22 Oktober lalu, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 meluluskan SOP kemasukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan sektor perladangan seperti yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zuraida berkata, perincian selanjutnya berhubung senarai pusat kuarantin serta mekanisme untuk membawa masuk pekerja asing dari negara sumber akan dikeluarkan oleh kerajaan melalui KSM dalam masa terdekat.

Tambahnya, sebarang perubahan SOP adalah tertakluk kepada perbincangan dengan pihak KSM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kementerian berharap dengan keputusan khas yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia ini akan memantapkan lagi hubungan antara dua negara melalui kerangka kerjasama sedia ada dengan memperoleh situasi menang-menang demi memajukan lagi industri sawit di peringkat antabangsa,” ujarnya.