UMNO perkasa strategi digital hadapi PRN Melaka

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO akan menggandakan dan memperkasakan strategi digital dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akur dengan langkah kerajaan yang tidak membenarkan kempen secara konvensional pada PRN kali ini.

"Kita terpaksa berhadapan pilihan raya dalam suasana pandemik belum pulih.

"Walaupun kita sudah mencapai hampir 95 peratus imuniti kelompok seperti yang dikhabarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam (Isnin), hakikatnya ia tidak beri lesen besar untuk kita lakukan kempen secara konvensional," katanya pada sidang akhbar di Menara Dato Onn, di sini pada Selasa.

Justeru, Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan memantapkan penggunaan platform media digital yang ada bagi memenangi hati pengundi Melaka nanti.

"Antara perkara yang baik kesan pandemik ini adalah kita harus melihat PRN Melaka sebagai medan untuk mempelbagaikan mekanisme kempen menggunakan media digital.

"Ia sama ada media secara terbuka seperti Facebook, Twitter, Instagram, TikTok mahu pun aplikasi media tertutup seperti Telegram, WhatsApp dan sebagainya," katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, seiring dengan usaha itu, pihaknya juga telah mewujudkan satu pasukan khas untuk melaksanakan kempen pilihan raya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Mekanisme atau model ini juga akan kita gunakan untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang," katanya.

Sementara itu, ditanya adakah Pemuda UMNO akan mendesak kerajaan untuk melonggarkan larangan tersebut, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya akur dan faham mengapa larangan itu dikuatkuasakan pada PRN Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan.

"Keselamatan dan kesihatan rakyat serta setiap pengundi dan jentera adalah keutamaan Pemuda UMNO.

"Kita cuba untuk bergerak dan bekerja dalam kapasiti, ruang lingkup yang telah ditetapkan oleh kerajaan, yang lain itu terserah kepada kepimpinan tertinggi kalau nak minta," katanya.

PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 20 November manakala kempen pula akan bermula pada 8 November ini iaitu hari penamaan calon.

KKM pada Ahad mengeluarkan larangan bagi sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya berkuat kuasa Isnin hingga 27 November ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, larangan itu terpakai bagi PRN Melaka termasuk membabitkan kempen rumah ke rumah dan ceramah politik.