Petronas akan bina kemudahan LNG pertama di Sabah

Hajiji menerima cenderamata daripada Lokman dalam kunjungan hormat di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
Hajiji menerima cenderamata daripada Lokman dalam kunjungan hormat di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membina loji gas asli cecair (LNG) pesisir pantai yang pertama dan terbesar di Sabah.

Perkara itu disahkan kerajaan Sabah dan pembinaan akan dilakukan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di Sipitang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek LNG yang tertakluk kepada keputusan pelaburan akhir (FID) tahun depan merupakan langkah tepat bagi kerajaan meneruskan usaha mendapatkan lebih banyak peluang hasil tambahan melalui penyertaan ekuiti untuk Sabah.

"Projek LNG pesisir pantai merupakan hasil kajian bersama antara kerajaan negeri dan Petronas bagi mengenal pasti pilihan penerokaan gas yang optimum dalam usaha memaksimumkan ekonomi jangka panjang," katanya selepas menerima kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali di Menara Kinabalu pada Selasa.

Hajiji turut memberi jaminan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melihat lebih banyak pilihan bagi memastikan rakyat Sabah menerima faedah daripada sektor minyak dan gas di negeri ini.

Loji baharu LNG itu dijangka meningkatkan jumlah pengeluaran LNG daripada 2.7 kepada 4.7 juta tan metrik setahun (MTPA) iaitu penambahan kapasiti pengeluaran LNG sebanyak dua juta MTPA.

Aktiviti Reka Bentuk Kejuruteraan Bahagian Depan (FEED) untuk projek terbabit akan bermula pada akhir Oktober ini dan tertakluk kepada FID serta dirancang siap pada akhir tahun 2026.

Artikel Berkaitan: