PH kemuka 10 cadangan Bajet Johor 2022

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU- Sebanyak 10 cadangan akan dikemukakan Pakatan Harapan (PH) Johor sebagai langkah menambah baik Bajet Johor 2022 yang akan dibentangkan pada bulan hadapan.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Johor (PKR), Jimmy Puah Wee Tse berkata, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri untuk membincangkan usul yang bersesuaian dimasukkan dalam bajet kelak.

Jimmy berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri ketua-ketua parti dalam PH Johor pada Sabtu ini, bagi membincangkan cadangan yang akan dimasukkan dalam bajet negeri.

"PH Johor juga telah memaklumkan mengenai penubuhan jawatankuasa itu kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menerusi satu pertemuan di Kota Iskandar pada 20 Oktober lalu.

"10 cadangan terbabit memberi tumpuan kepada isu perumahan, air, wanita, orang muda serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami telah berbincang dengan Datuk Hasni Mohammad mengenai penglibatan PH Johor dalam Bajet Johor 2022 dan secara umumnya beliau bersedia untuk berbincang dan menyambutnya dengan positif," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PKR Johor Cabang Tebrau, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Hasni pada 20 Oktober lalu di Kota Iskandar, bersama Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Chen Kah Eng.

Jimmy yang juga ADUN Bukit Batu itu berkata, 10 cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri sebelum pembentangan Bajet Johor 2022 pada 25 November depan.

Artikel Berkaitan:

Hasni pada 2 Oktober lalu dilaporkan berkata, kerajaan negeri dijangka membentangkan bajet dengan pendekatan bersifat mengembang bagi memulihkan keadaan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Jelasnya, keadaan ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerlukan pakej-pakej rangsangan ekonomi di peringkat negeri diperkenalkan.