KDN bakal laksana operasi besar-besaran tahan PATI

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Operasi besar-besaran bagi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejurus tamat tempoh Pelan Rekalibrasi PATI, 31 Disember depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, operasi berkenaan akan turut disertai oleh agensi Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menurutnya, majikan yang masih menggaji PATI digesa tampil untuk berdaftar supaya mereka yang berada di Malaysia mempunyai dokumen sah.

"Suka untuk saya ingatkan bahawa pelan ini merupakan suatu peluang kepada semua majikan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri KSM, Datuk Seri M Saravanan Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

Beliau berkata, sehingga 21 Oktober lalu, seramai 147,705 PATI telah berdaftar untuk Program Rekalibrasi Pulang.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 124,423 PATI telah pulang ke negara asal dan kerajaan telah menjana RM71,368,700 melalui bayaran kompaun yang dikutip," katanya.

Ujarnya, seramai 212,926 PATI telah berdaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja untuk diregularisasikan sebagai pekerja asing yang sah.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 34,318 PATI telah lulus verifikasi dan 20,889 gagal, manakala 157,719 PATI masih belum hadir proses verifikasi di Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hamzah berkata, kutipan wang cagaran terkumpul bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga 20 Oktober adalah sebanyak RM106,463,000.

"Kutipan hasil bagi program ini adalah RM4,146,266.50 yang merangkumi bayaran rekalibrasi, levi, pas, visa dan bayaran proses," katanya.

Ditanya mengenai punca PATI gagal dalam verifikasi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, Hamzah berkata, ia disebabkan faktor umur.

"Polisi selama ini adalah apabila seseorang pekerja asing untuk berada di negara ini, mereka hanya boleh berdaftar ketika umur 45 tahun, kemudian kita benarkan sambung sehingga 10 tahun.

Apabila umur 55 tahun sepatutnya mereka balik tetapi disebabkan masalah Covid-19, kita masih belum ada polisi bagaimana untuk mengiktiraf mereka sama ada dihantar pulang atau sebagainya," katanya.

Ujarnya, terdapat PATI yang masih mahu meneruskan pekerjaan di negara ini.

"Kita dapat penjelasan daripada jemaah menteri kerana itu adalah polisi baharu, sebab itu kita tidak umum hari ini," katanya.