RM7.5 juta produk penapis air jenama Korea Selatan dirampas

Ariffin Samsudin (tengah) menunjukkan produk yang dirampas.
Ariffin Samsudin (tengah) menunjukkan produk yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,797 produk pelbagai model bernilai RM7.5 juta milik sebuah syarikat penapis air terkenal dari Korea Selatan dirampas kerana dijual tanpa kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Khamis.

Antara produk yang dirampas termasuk beberapa model penapis air dan periuk tekanan.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, kesemua produk berkenaan dirampas dari sebuah gudang milik syarikat berkenaan yang terletak di Subang Jaya.

"Syarikat berkenaan memiliki lesen jualan langsung yang masih sah sehingga tahun 2023 untuk 21 jenis produk walaubagaimanapun barang yang dirampas ini merupakan produk yang dijual tanpa kelulusan KPDNHEP.

"Kita telah beri lesen, jadi produk yang mendapat kelulusan boleh dijual tetapi produk yang dirampas ini dianggap dibawa masuk secara haram kerana tidak mendapat kelulusan," katanya pada sidang akhbar di Stor Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur di Segambut pada Selasa.

Ariffin menjelaskan, tindakan tersebut diambil untuk menjaga kepentingan pengguna dan memastikan pemegang lesen jualan langsung tidak menyalahgunakan kebenaran yang diberikan.

"Pengguna ini bila mereka nampak papan tanda ada lesen mereka anggap semua barang yang dijual selamat digunakan. Untuk menjaga kepentingan pembeli setiap produk yang hendak disenaraikan dalam jualan langsung perlu mendapat kebenaran," jelasnya.

Katanya, pengarah syarikat tersebut akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan rujuk kepada timbalan pendakwa raya dan mahkamah akan putuskan apa tindakan yang akan diambil terhadap barang rampasan," ujarnya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(4) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 kerana melanggar syarat lesen.

"Jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000," katanya.