12 pakar dilantik Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara

Ronald berucap pada mesyuarat Majlis Penasihat Pertanian Negara Bilangan 2 Tahun 2021 secara hibrid di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur.
Ronald berucap pada mesyuarat Majlis Penasihat Pertanian Negara Bilangan 2 Tahun 2021 secara hibrid di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengumumkan perlantikan 12 pakar industri dan ahli akademik yang berpengalaman dalam bidang sebagai Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) bagi sesi 2021 hingga 2022.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, lantikan tersebut seiring dengan pelancaran Dasar Agromakanan Negara (2021-2030) (DAN 2.0), yang menyasarkan agromakanan sebagai suatu sektor mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Kata beliau, pada masa sama, ia bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.

Tambahnya, majlis itu adalah sebagai salah satu platform terbaik bagi semua ahli majlis yang terdiri daripada ahli akademik dan pemain industri untuk menyumbang idea, pandangan dan cadangan dalam memacu hala tuju sektor agromakanan khususnya berkaitan sekuriti makanan supaya seiring dengan keperluan semasa.

“Antaranya, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Tengku Laksamana Perlis Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail; Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah; Felo Penyelidik Kanan UPM, Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad dan Pengarah Eksekutif Leong Hup International Sdn Bhd, Tan Sri Francis Lau Tuang Nguang.

“Selain itu, Pengarah Eksekutif PWTC, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim; Timbalan Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin; Presiden Emir Research, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dan Pensyarah UPM, Profesor Madya Dr Suhaimi Napis.

“Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian; Pensyarah Universiti Malaya (UM), Profesor Dr M Niaz Asadullah; Ketua Pegawai Eksekutif Ternakan Kamran Sdn Bhd, Datuk Raghu Loganathan Pillai dan Pensyarah UMS, Dr Yasmin B.H. Ooi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, MAFI telah mengadakan Mesyuarat Majlis Penasihat Pertanian Negara Bilangan 2 Tahun 2021 secara hibrid bertempat di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ronald berkata, pelantikan itu akan diketuai oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan antara lain, akan bertindak sebagai Jawatankuasa Penasihat dan untuk menasihat dan meneliti kerangka tadbir urus dan pelaksanaan DAN 2.0.

Tambahnya, sebanyak empat kertas cadangan telah dibentangkan pada mesyuarat tersebut.

“Ia menjurus kepada ketersediaan (availability) sekuriti makanan yang melibatkan aspek-aspek pengukuhan industri perikanan laut dalam, isu sumber benih negara, pengukuhan kawalan biosekuriti agromakanan dan kerjasama pihak awam dan swasta dalam sektor agromakanan negara.

“Melalui MPPN, MAFI akan terus memperkasa sektor agromakanan negara bersama ahli akademik dan pemain industri dalam mengenal pasti isu sektor agromakanan khususnya dalam aspek sekuriti makanan dengan mengambil langkah intervensi yang sesuai mengikut perkembangan semasa dan menyeluruh serta holistik,” ujarnya.