Dua kemalangan maut tak sampai dua jam

Gambar kiri, keadaan kereta Proton Wira yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan, Gambar kanan, lokasi kejadian yang membabitkan empat buah kenderaan di KM35.5, Jalan Kuala Terengganu- Kuantan, Kampung Serating, Marang. - Foto ihsan PDRM
Gambar kiri, keadaan kereta Proton Wira yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan, Gambar kanan, lokasi kejadian yang membabitkan empat buah kenderaan di KM35.5, Jalan Kuala Terengganu- Kuantan, Kampung Serating, Marang. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

MARANG - Dua tragedi kemalangan maut berlaku dalam tempoh kurang dua jam di Jalan Kuala Terengganu- Kuantan, Kampung Serating, di sini yang jarak kedudukan lokasi tidak sampai 20 kilometer (km), pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Deris berkata, kejadian pertama membabitkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua yang menunggang motosikal maut kira-kira jam 9.50 malam.

Kejadian berkenaan melibatkan sebuah kereta di KM 60.5, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, Sempadan Rantau Abang, di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan dikatakan terlanggar pembahagi jalan sebelum terbabas di lorong sebelah kiri jalan.

"Pada masa yang sama sebuah kereta dari arah yang sama menggilis mangsa kerana pemandu tidak sempat memberhentikan kenderaannya.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan dan kepala sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan pada Selasa.

Mohd Zain berkata, kemalangan kedua iaitu di KM 35.5, Jalan Kuala Terengganu- Kuantan, Kampung Serating, melibatkan empat buah kenderaan iaitu kereta jenis Proton Wira, kereta jenis Volkswagen Golf, sebuah van Nissan Vanette dan motosikal jenis Honda EX5.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 malam ketika mangsa berusia 28 tahun menunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum dilanggar sebuah van dipandu lelaki berusia 49 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Van berkenaan dipercayai terbalik dan terbabas di kaki lima jalan selepas dilanggar sebuah kereta Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 22 tahun dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

"Semasa di lokasi, pemandu kereta itu dikatakan cuba memotong kenderaan di hadapannya tetapi gagal kerana jarak yang terlalu dekat. Kenderaan itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta jenis Volkswagen Golf dipandu lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.

"Akibat rempuhan kuat itu, kereta jenis Volkswagen Golf berpusing beberapa kali sebelum melanggar van yang datang dari arah sama hingga menyebabkan van tersebut terbabas di kaki lima lalu terbalik sebelum dilanggar motosikal ditunggang mangsa yang berada di belakangnya.

"Akibat pelanggaran kuat itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat," katanya.

Kata Mohd Zain, kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.