Kerajaan bincang polisi khas vaksin kanak-kanak bawah 12 tahun

Kerajaan sedang berbincang untuk mewujudkan polisi khas bagi membolehkan vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. Foto hiasan.
Kerajaan sedang berbincang untuk mewujudkan polisi khas bagi membolehkan vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. Foto hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang berbincang untuk mewujudkan polisi khas bagi membolehkan vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata untuk tujuan itu, kerajaan kini terlibat daripada beberapa kajian membabitkan program pemberian vaksin kepada golongan berkenaan.

“Tidak boleh katakan kita tak ambil berat dalam isu vaksinasi kanak-kanak. Itu merupakan urusan kita ketika ini (dengan) melibatkan diri dalam beberapa kajian.

“Kita maklum di Amerika Syarikat (AS) sudah memutuskan pemberian vaksin jenis Pfizer kepada kanak-kanak bawah 12 tahun. Kita juga dalam perbincangan untuk mengadakan satu polisi supaya dapat gunakan vaksin tersebut di Malaysia,”katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau memberi reaksi terhadap soalan tambahan daripada Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) yang mahu tahu kesan jika kanak-kanak bawah12 tahun tidak divaksin dan adakah kerajaan hanya bergantung kepada vaksinasi golongan remaja sahaja.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal daripada Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur), beliau berkata, Malaysia belum menerima data yang diperlukan daripada syarikat pengeluar vaksin Covid-19 bagi meneliti kesesuaian untuk pemberian vaksin itu kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Bagaimanapun katanya, Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti keberkesanan dan keselamatan vaksin ke atas golongan itu berdasarkan bukti saintifik melalui kajian klinikal serta data sebenar di peringkat dunia.

"Setakat ini, beberapa kajian klinikal sudah dan sedang dijalankan termasuk pada September lalu, Pfizer-BioNTech mengeluarkan hasil dapatan kajian klinikal fasa tiga bagi usia lima tahun hingga kurang 12 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Vaksin ini didapati selamat, ditoleransi dengan baik dan menunjukkan tidak balas antibodi peneutralan yang kuat.

“Melalui kenyataan media Pfizer-BioNTech pada 15 Oktober lalu, data kajian klinikal itu sudah dikemukakan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan Agensi Perubatan Eropah (EMA),”katanya.