X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

PNB lancar Wakaf ASNB

Arifin Zakaria
A
A

SHAH ALAM - Permodalan Nasional Berhad (PNB), menerusi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, telah memperkenalkan perkhidmatan baharu Wakaf ASNB pada Isnin.

PNB dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan itu menyatukan konsep pelaburan dunia dan akhirat bagi membolehkan pelabur ASNB mewakafkan unit amanah mereka untuk manfaat kepada komuniti secara berterusan.

“Wakaf ASNB berkonsepkan wakaf muabbad iaitu wakaf berkekalan yang mengambil pendekatan untuk menyimpan modal dana wakaf bagi menghasilkan potensi pulangan setiap tahun.

“Pulangan tersebut kemudian akan disalurkan kepada projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti dan misi kemanusiaan,” jelas kenyataan itu pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, memperkenalkan Wakaf ASNB adalah langkah proaktif bagi PNB untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional.

“Wakaf ASNB membuka peluang kepada pelabur-pelabur kami untuk melabur sambil beramal.

“Wakaf ASNB juga menjadi pelengkap kepada khidmat perancangan kewangan ASNB, merangkumi pelaburan yang pelbagai, serta kemudahan perwarisan melalui Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah,” katanya.

Beliau berkata, Wakaf ASNB adalah hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah melantik ASNB sebagai Mutawalli iaitu pentadbir aset wakaf menerusi anak syarikat ASNB, ASNB Wakalah Sdn. Bhd (AWSB).

“Pelantikan ini membolehkan AWSB mengurus dan mengagihkan dana wakaf secara telus dan lancar ke projek-projek pembangunan ummah dan masyarakat bagi pihak pewakaf,” katanya.

Sebelum ini, majlis penyerahan watikah pelantikan AWSB sebagai Mutawalli telah diadakan di pejabat MAIWP pada Khamis.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya telah menyampaikan watikah kepada Pengerusi AWSB, Prof Dr Mohamad Akram Laldin. Turut sama di majlis tersebut ialah Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin.

Menurut Ariffin, kini semua pemegang unit Akaun Dewasa ASNB berbilang kaum boleh mewakafkan unit amanah mereka menerusi perkhidmatan Wakaf ASNB mulai Isnin di semua cawangan ASNB seluruh negara.

Transaksi wakaf di portal dan aplikasi mudah alih myASNB akan bermula pada 1 November 2021 bagi semua dana ASNB, kecuali ASN Imbang 1 mulai 1 Disember 2021.

Transaksi minimum Wakaf ASNB adalah sebanyak RM1,000 bagi unit amanah harga tetap dan harga berubah harga silam, dan 1,000 unit minimum bagi unit amanah harga berubah harga hadapan.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan Wakaf ASNB, pemegang unit boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 atau layari laman web Wakaf ASNB.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!