2,144 pesakit mental terima rawatan di Mentari

Dr Kasemani (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang diadakan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Psikiatri, HSNZ, Kuala Terengganu pada Selasa.
Dr Kasemani (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang diadakan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Psikiatri, HSNZ, Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 2,144 individu yang mengalami masalah kesihatan mental telah mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di Terengganu sepanjang tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, bagi tahun ini pula seramai 1,797 pesakit melibatkan pelbagai jenis masalah kesihatan mental turut mendapatkan rawatan sama sehingga September lalu.

Menurutnya, sehingga kini terdapat dua Mentari di Terengganu iaitu di Wakaf Tapai, Marang dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang menawarkan perkhidmatan psikiatri, kaunseling dan psikoterapi.

"Semua perkhidmatan itu diberikan kepada individu yang mengalami kemurungan dan pengurusan kes berkaitan tingkah laku bunuh diri.

"Selain itu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga menyediakan perkhidmatan Klinik Minda Sihat di semua klinik kesihatan yang telah ditambah baik dan dikendalikan oleh pegawai terlatih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Psikiatri, HSNZ, di sini pada Selasa.

Jelas Dr Kasemani, isu kesihatan mental kini menjadi satu pandemik senyap dengan berlakunya perubahan dalam kehidupan masyarakat dan pesakit seringkali berdepan dengan masalah diskriminasi, stigma dan diketepikan dalam semua aspek.

Sehubungan itu kata beliau, pelbagai inisiatif telah dilakukan JKNT untuk memperkasakan masyarakat dalam penjagaan kesihatan mental.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha itu termasuk mewujudkan Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di semua klinik dan hospital untuk memberi perkhidmatan sokongan emosi kepada individu dalam masyarakat yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19 dan krisis.

"Selain itu, JKNT turut melaksanakan advokasi Let’s TALK Minda Sihat secara menyeluruh melibatkan media massa, media sosial dan agensi lain.

"Kempen ini merupakan kolaboratif pintar bersama agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha meningkatkan kesedaran kesihatan mental secara meluas bagi mengatasi stigma terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat," katanya.