Teknik 'Bioflac' ternak udang putih beri pulangan lumayan

Ternakan udang putih dilihat berbaloi apabila mampu meraih pendapatan sehingga mencecah lima angka sebulan. - Foto 123rf
Ternakan udang putih dilihat berbaloi apabila mampu meraih pendapatan sehingga mencecah lima angka sebulan. - Foto 123rf
A
A
A

BACHOK - Usaha gigih dan tekad seorang siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Naim Saa’ri, 32, mencipta kelainan dalam ternakan udang putih, dilihat berbaloi apabila dia kini mampu meraih pendapatan sehingga mencecah lima angka sebulan.

Katanya dia menjadi penternak udang putih pertama di Kelantan menggunakan teknik Bioflac yang cukup popular di negara jiran kerana mampu menjimatkan tempoh masa ternakan, selain turut mesra alam berbanding kaedah konvensional.

Muhammad Naim berkata, kawasan ternakan yang berdekatan dengan Persisir Pantai Pulau Kambing di sini iaitu sekitar 15 meter sahaja, juga memberi kelebihan baginya apabila dia hanya menternak udang berkenaan menggunakan air laut di pantai itu.

“Saya mula mengusahakan ternakan ini dengan bermodalkan RM2,000 Jun lalu iaitu dengan sekitar 50,000 benih udang, diternak dalam lima buah tangki. Malah lagi menjimatkan apabila saya hanya menyedut air laut untuk disalurkan ke setiap tangki,” katanya ketika ditemui pemberita di kolam udang miliknya di Kampung Tok Kederat, di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, menurutnya percubaan kali pertama menemui kegagalan, apabila hampir 25 peratus ternakan itu mati, dan sekitar 37,500 udang sahaja yang hidup, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus bergiat dalam bidang ternakan udang putih.

“Dari situ saya mula mempelajari pelbagai teknik penternakan berkaitan kaedah Bioflac menerusi YouTube, selain turut mendapatkan nasihat daripada penternak berpengalaman dan juga Jabatan Perikanan.

“Alhamdulillah kini saya sudah mempunyai sekitar 23 tangki ternakan dengan jumlah pengeluaran mencecah 150,000 ekor udang putih untuk satu kitaran, dan selepas ini saya menyasarkan untuk menambah lagi ternakan 150,000 benih udang,” katanya yang dibantu oleh dua pekerja.

Dalam pada itu, Muhammad Naim berkata, kebiasaannya udang putih itu menjadi buruan pemancing di sekitar negeri ini untuk dijadikan umpan memandangkan ia lebih lasak berbanding umpan lain dan sukar untuk mati.

Artikel Berkaitan:

“Ia dijual pada harga RM45 hingga RM60 sekilogram, bergantung kepada saiz iaitu sekitar 15 sentimeter sudah boleh dijual dan ia turut mendapat permintaan daripada pelanggan luar Kelantan, namun saya masih tidak mampu untuk menampung permintaan,” katanya. - Bernama