AS gantung bantuan AS$700 juta kepada Sudan

 Pengerusi Majlis Berdaulat Sudan Abdel Fattah Al-Burhan mengisytiharkan darurat di seluruh Sudan. - Foto AP
Pengerusi Majlis Berdaulat Sudan Abdel Fattah Al-Burhan mengisytiharkan darurat di seluruh Sudan. - Foto AP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menggantung bantuan ekonomi berjumlah AS$700 juta kepada Sudan selepas pasukan tentera negara itu menahan pemimpin dan pegawai awam, lapor Xinhua.

"AS mengecam tindakan semalaman yang dlakukan pasukan tentera Sudan," kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price semasa taklimat media.

"Penangkapan pegawai kerajaan awam dan pemimpin politik lain, termasuk Perdana Menteri (Abdalla) Hamdok, menjejaskan proses peralihan negara itu kepada pemerintahan awam yang demokratik.

"Berdasarkan perkembangan ini, AS menghentikan bantuan US$700 juta daripada peruntukan bantuan kecemasan untuk dana sokongan ekonomi untuk Sudan," tambahnya.

Price menggesa tentera supaya segera membebaskan semua pegawai yang ditahan, memulihkan sepenuhnya kerajaan peralihan yang diketuai orang awam dan mengelakkan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Pada Isnin, Pengerusi Majlis Berdaulat Sudan Abdel Fattah Al-Burhan mengisytiharkan darurat di seluruh Sudan dan membubarkan majlis berdaulat peralihan dan kerajaan.

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok, anggota komponen awam Majlis Berdaulat Peralihan dan beberapa menteri ditangkap oleh pasukan tentera gabungan. - Bernama

Artikel Berkaitan: