SPRM tahan 16 pengarah syarikat

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin menahan 16 pengarah syarikat selepas disyaki terlibat dalam penyelewengan geran peruntukan yang dikeluarkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Kesemua individu berusia 24 hingga 68 tahun itu ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber, dianggarkan puluhan juta telah dilesapkan oleh kumpulan ini yang pada asalnya memohon geran peruntukan Mitra bagi melaksanakan program sosio-ekonomi masyarakat India di negara ini.

"Siasatan kes ini akan membabitkan semua permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh Mitra bermula tahun 2018 hingga kini.

"Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan perlaksanaan program pembangunan sosio-ekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya," katanya.

Tambah sumber, permohonan peruntukan daripada Mitra diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu kerana tiada program dilaksanakan dan tiada penyataan perbelanjaan dapat dikemukakan oleh pihak berkuasa.

Mitra telah distrukturkan semula pada tahun 2018 ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pada April 2020 hingga kini, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara. Dianggarkan Mitra memperoleh bajet berjumlah RM100 juta setahun.

Artikel Berkaitan:

Kesemua 16 yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, ketika dihubungi Datuk Seri Azam bin Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesahkan tangkapan tersebut.

"Siasatan dibuat di bawah Seksyen 16 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.