Ubat, komestik tidak berdaftar bernilai RM217,461 dirampas

Antara ubat dan komestik tidak bernotifikasi dirampas. - Foto ihsan JKNS
Antara ubat dan komestik tidak bernotifikasi dirampas. - Foto ihsan JKNS
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 90 jenis ubat dan kosmetik tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi yang dianggarkan bernilai RM217, 461 dirampas dalam serbuan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) di daerah ini minggu lalu.

Timbalan Pengarah JKNS (Kesihatan Awam), Dr Mohammad Faid Ab Rashid berkata, serbuan yang dilakukan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan itu di dua buah rumah dan pemeriksaan pada sebuah kenderaan.

"Hasil maklumat yang diperolehi oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Sembilan mendapati tiga lokasi serbuan tersebut dipercayai mempunyai rangkaian pasaran melibatkan Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

"Produk yang telah dirampas merangkumi pelbagai jenis termasuk produk tradisional yang tidak berdaftar dan 'over-the-counter'," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual ubat-ubatan dan kosmetik berkenaan akan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952.

Beliau berkata, sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Mohammad Faid berkata, sejak September 2019, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) telah memperkenalkan label keselamatan hologram FarmatagTM untuk semua produk berdaftar.

Beliau berkata, label keselamatan hologram itu dilengkapi ciri keselamatan tambahan yang dapat membantu semua pihak dalam memastikan ketulenan produk di pasaran.

"Pengguna boleh menyemak ketulenan label hologram FarmaTagTM pada produk dengan menggunakan aplikasi Farmachecker yang boleh dimuat turun secara percuma dari Google Playstore, AppStore dan juga Huawei App Gallery.

"Justeru orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik," katanya.