Mak Cun masuk pasar tani FAMA

Erma bergambar bersama produk IKS tempatan yang dijual di tapak niaga GeniaSelangor MakCun@FAMA di pasar tani FAMA, Stadium Shah Alam, pada pagi Ahad.
Erma bergambar bersama produk IKS tempatan yang dijual di tapak niaga GeniaSelangor MakCun@FAMA di pasar tani FAMA, Stadium Shah Alam, pada pagi Ahad.
A
A
A

KUMPULAN Geng Niaga Mak Cun (Genia) Selangor kini mengorak langkah baharu dengan memasarkan produk usahawan Industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan di tujuh pasar tani FAMA yang berada di sekitar negeri tersebut.

Pengarah Urusan Mak Cun Jutawan Sdn Bhd, Erma Fatima berkata, lokasi tapak niaga Mak Cun itu akan melibatkan pasar tani FAMA di Shah Alam, Banting, Kelana Jaya, Rawang, Serdang, Puchong dan Hulu Selangor.

Katanya, tapak niaga yang akan diusahakan oleh lapan usahawan Genia Makcun Selangor di bawah program realiti, Zero To CEO anjuran sebuah media swasta itu akan menawarkan lebih 14 jenis makanan dan barangan dapur keluaran anak tempatan.

“Di pasar tani ini, kita akan menjual produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan selain daripada produk sedia ada di bawah naungan Mak Cun.

“Maknanya, kita hanya jual produk buatan orang Malaysia yang dijamin kualitinya selepas melalui proses saringan dan pada masa sama juga dijamin halal,” katanya selepas merasmikan tapak niaga pertama GeniaSelangor MakCun@FAMA di pasar tani FAMA, Stadium Shah Alam, baru-baru ini.

Erma berkata, inisiatif dilakukan oleh kumpulan Genia Selangor itu merupakan langkah pertama kumpulan usahawan tersebut bagi mendapatkan pengalaman melakukan jualan di pasar tani selain daripada menggunakan platform perniagaan sedia ada seperti di pasaraya dan kedai dalam talian.

Beliau yang juga merupakan pelakon dan penerbit terkenal berkata, paling utama dalam usaha tersebut adalah perjuangannya untuk mengangkat martabat produk hasil anak tempatan.

“Apa yang kita lakukan adalah buat satu jalinan kerjasama dalam memasarkan produk baru. Maknanya ada produk daripada Selangor, Kelantan dan Melaka yang buat usaha sama dengan Mak Cun. Jadi ini adalah usaha perniagaan jangka panjang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain daripada memasarkan produk IKS di Mak Cun Mart yang mempunyai kedai fizikal dan dalam talian, makanan dan barangan dapur di bawah jenama tersebut juga turut dijual di pasaraya AEON.

Pada masa sama, Erma berkata, beliau berbangga inisiatif dilakukan oleh usahawan di bawah jenama syarikatnya itu meskipun mereka merupakan pesaing di bawah program realiti keusahawanan tersebut.

“Walaupun mereka berentap antara satu sama lain, tapi mereka ambil jalan bergabung menjayakan pembukaan tapak niaga di pasar tani ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang usahawan Mak Cun yang menyertai program realiti, Zero To CEO, Mashalina Halim, 31 berkata, antara produk menarik ditawarkan di tapak jualan tersebut ialah sos char kuetiau, sambal kicap original dan meletop serta serbuk kopi kampung.

Beliau ketika ini berada di kedudukan 10 teratas daripada 51 peserta dalam program tersebut berkata, turut dijual ialah pes rendang, masak lemak cili padi, asam pedas dan rempah kari ikan, kurma serta fucuk.