Mesej tersirat di sebalik Squid Game

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS penangan filem Parasite, Squid Game menggegarkan dunia apabila menjadi drama siri Korea yang pertama menduduki carta teratas dalam rangkaian Netflix peringkat domestik dan global. Bloomberg melaporkan, keuntungan drama itu mencecah RM3.6 bilion iaitu 41 kali ganda daripada nilai kos produksi.

Magnet naskhah tersebut bukan sembarangan. Jika tidak, orang terkaya di muka bumi ini, Jeff Bezos tidak akan membuat ciapan dalam Twitternya memuji Netflix dan siri tersebut.

Plot Squid Game (nama permainan tradisional di Korea) sebenarnya mudah untuk dihadam, tetapi bingkisan yang disampaikan tidak klise. Ia mengisahkan tentang 456 individu yang berdepan dengan masalah kewangan dan hidup, dijemput menyertai rangkaian permainan bagi meraih hadiah berjumlah RM162 juta. Namun, kematian menjadi risiko kepada kegagalan.

Apabila menjadi terlalu popular, segala isi ceritanya ingin dibahaskan. Apa yang boleh dikatakan, Squid Game antara salah satu karya yang melondehkan tentang kehidupan sebenar penduduk Korea.

Malah seorang pengkritik budaya, Jung Duk-hyun berkata, drama itu adalah metafora masyarakat Korea yang terpaksa berdepan dengan realiti yang perit untuk ditelan, lapor Korea Herald.

Keizinan pemerintah yang membenarkan industri filem di sana bergerak bebas sejak tahun 1980-an telah memberi ruang kepada pekerja seni mengetengahkan kemelut yang benar-benar berlaku di Korea. Justeru, sutradara, Hwang Dong Hyuk mengambil kesempatan tersebut dengan menonjolkan kesulitan ekonomi, kesusahan, konflik kehidupan, nilai-nilai kemanusiaan seperti keterdesakan masyarakat dalam Squid Game.

Ya, benar, Korea Selatan dikenali negara maju yang mempelopori jenama gergasi seperti Samsung, Hyundai, SK, LG dan Lotte serta menduduki tangga ke-10 negara yang memiliki kekuatan ekonomi di dunia.

Pengajaran

Artikel Berkaitan:

Namun demikian, di sebalik reputasi gah itu, hakikatnya jurang di antara si kaya dan miskin sangat besar. Situasi tersebut semakin memburuk apabila pandemik Covid-19 telah meningkatkan kadar pengangguran sebanyak 3.3 peratus (setakat Julai lalu), selain nilai hartanah yang semakin tinggi.

Menurut The Straits Times Singapore, hutang isi rumah di Korea bertambah menjadi RM6.4 trilion (setakat Jun lalu) berbanding sedekad lalu. The Conversation pula melaporkan, golongan belia di Korea yang berusia dalam lingkungan 30-an mempunyai hutang paling banyak.

Jelas, watak protagonis dalam Squid Game iaitu Seong Gi-hun (kaki judi) dan Cho Sang-Woo (pecah amanah), telah menterjemahkan pergelutan itu. Disebabkan buntu untuk keluar daripada kemelut kewangan, kedua-duanya sanggup 'menyerah tengkuk' demi mahu melangsaikan hutang yang menimbun.

Kelompok 'chaebol' bukan hanya cakap kosong. Buktinya, data rasmi menunjukkan nilai bersih 20 peratus pekerja dengan pendapatan tertinggi adalah 166 kali ganda lebih tinggi dengan 20 peratus pekerja dengan pendapatan paling rendah tahun lalu. Lihat betapa besarnya perbezaan itu.

Banyak lagi sebenarnya intipati Squid Game yang saya ingin saya huraikan. Antaranya seperti isu rasuah yang masih mencengkam, diskriminasi terhadap wanita, isu pemerdagangan organ dan lain-lain.

Meskipun beberapa penganalisis Barat menyifatkan transkripsi Squid Game mengetengahkan babak cerita yang berlebihan, tetapi masih ramai berpendapat, karya itu merupakan satu kritik sosial yang tajam.

Mesej di sebalik drama berkenaan secara tidak langsung mengajak pihak pemerintah menyedari masalah yang melingkari dalam kalangan penduduk, sekali gus memikirkan apakah solusi untuk mengatasinya.

Untuk kita, apa pengajaran yang boleh diambil daripada naskhah tersebut? Pertama, pentingnya mengelola kewangan dengan baik. Jangan jadi seperti Gi-Hun, kegagalan beliau menabung membuatkannya gagal mengubati sakit ibu tersayang.

Kedua, menjebakkan diri dalam perjudian boleh menghancurkan diri. Dari aspek moral pula, jangan terlalu percaya kepada seseorang (adegan antara Ali dan Sang-Woo), usah cepat menilai seseorang dari luarannya dan ingat, manusia sanggup lakukan apa sahaja demi wang!

* Mazlina Abdul Majid ialah Editor Rencana SinarPlus, Sinar Harian