Mangsa banjir di Pendang meningkat

Anggota APM Pendang melakukan pemantauan paras air di daerah Pendang. - Foto ihsan APM
Anggota APM Pendang melakukan pemantauan paras air di daerah Pendang. - Foto ihsan APM
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah menunjukkan sedikit peningkatan setakat jam 8 malam Isnin.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, sehingga kini seramai 140 mangsa daripada 36 keluarga dipindahkan ke PPS tersebut.

Menurutnya, pertambahan mangsa hanya melibatkan penduduk di mukim Guar Kepayang.

"Melalui pemantauan, paras air sungai ketika ini berada pada 2.90 meter (m) berbanding 2.87m pada jam 2 petang tadi dan air didapati masih belum surut di kawasan terlibat.

"Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pendang akan terus melakukan pemantauan di kawasan banjir dan paras air Sungai Pendang serta membantu memindah mangsa ke PPS tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, paras air meningkat semula disebabkan hujan lebat melebihi dua jam pada Ahad dan pergerakan air adalah deras.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 139 mangsa daripada 35 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah selepas rumah mereka dinaiki air sejak Ahad.

Antara mukim terjejas termasuklah Ayer Putih, Padang Peliang, Guar Kepayang, Padang Pusing dan Bukit Raya selepas paras air Sungai Pendang berada pada 2.87m.

Artikel Berkaitan: