Perjanjian GRS, pembangkang tidak bermakna jika tanpa Warisan

Yong Teck Lee
Yong Teck Lee
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebarang perjanjian antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti pembangkang di negeri ini tidak bermakna apa-apa tanpa penyertaan Parti Warisan Sabah (Warisan), kata Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee.

Beliau juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, walaupun terdapat perbincangan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) di sini, pemimpin PKR dan DAP di Sabah tidak dapat memberikan sebarang ketetapan muktamad, sebaliknya ia perlu diterajui oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ahli jawatankuasa GRS itu berkata, hakikatnya di Sabah parti pembangkang utama ialah Warisan yang bukan sebahagian daripada PH, dan hanya Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) adalah parti tempatan Sabah yang berada dalam gabungan PH.

"Justeru, sebarang perbincangan mengenai apa jua perjanjian kerjasama dengan parti pembangkang di Sabah secara realistiknya perlu melibatkan parti Warisan. Sama ada Warisan mahu terlibat atau tidak; ia soal lain, yang perlu ditangani apabila tiba masanya nanti.

"Seterusnya setiap perjanjian kerjasama antara GRS dan pihak pembangkang harus menegakkan konsep kedaulatan undang-undang (rule of law). Perjanjian kerjasama tidak boleh dicemari oleh sebarang unsur-unsur 'penyelesaian di luar mahkamah' bagi kes kes-kes mahkamah yang sedang dijalankan, atau proses pengadilan di mana-mana mahkamah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga ketua menteri berkata, gabungan itu akan mengadakan perbincangan berhubung cadangan PH Sabah untuk bersama menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), dan berkata, Guan Eng telah membangkitkan perkara itu dalam pertemuan dengannya baru-baru ini.

GRS terdiri daripada parti Perikatan Nasional (Bersatu, STAR, SAPP, PAS dan Gerakan); Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC, PBRS); dan Parti Bersatu Sabah (PBS). - Bernama

Artikel Berkaitan: