Agenda Bajet Belia 2022 cadang Dasar Ekonomi Belia diwujudkan

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Agenda Bajet Belia 2022 mencadangkan Dasar Ekonomi Belia diwujudkan melalui insentif, geran-geran bantuan dan pembiayaan boleh ubah yang mesra belia bagi memperkasakan ekonomi kumpulan berkenaan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, saranan tersebut dibuat berdasarkan penelitian unjuran prestasi terkini ekonomi negara serta inisiatif pembaharuan kewangan awam.

Menurutnya, terdapat langkah-langkah khusus yang disarankan di bawah dasar tersebut.

“Antaranya ialah pembentukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) khusus menghimpunkan usahawan belia daripada pelbagai bidang, membuat kajian inisiatif kerajaan yang boleh membantu ekonomi belia dan mengelola kebajikan ekonomi belia.

“Mempelbagaikan jenis geran untuk merangkumi dengan lebih meluas kumpulan sasaran dan bidang keusahawanan yang dipelopori secara majoriti oleh belia seperti bidang e-Sports, agropreneur dan lain-lain serta mempermudahkan kaedah permohonan geran,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada awal Ogos lalu, Wan Ahmad Fayhsal mempengerusikan Agenda Bajet Belia 2022, satu platform konsultasi awam bersama 30 kumpulan belia berpersatuan dan juga belia-belia tidak berpersatuan termasuk sayap pemuda parti-parti politik bagi mengangkat suara belia dan memungut dapatan cadangan untuk diambil kira oleh kerajaan dalam merangka Bajet 2022.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan diminta meningkatkan peruntukan pendidikan kepada belia kaum India dan kadar pelepasan cukai pendapatan perkapita.

“Meningkatkan peruntukan pendidikan khusus kepada belia kaum India seperti mewujudkan sekolah berasrama penuh khusus untuk masyarakat India.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, meningkatkan kadar pelepasan cukai pendapatan perkapita bagi memastikan imbangan pendapatan negara dan rakyat pasca pandemik Covid-19,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan juga disarankan untuk melaksanakan subsidi bersasar dan meluaskan cakupan program insentif serta geran bantuan kerajaan.

“Subsidi bersasar bagi yuran-yuran kemasukan ke institusi pengajian awam (IPTA) atau institusi pengajian swasta (IPTS), dengan menyasarkan kumpulan-kumpulan yang kurang bernasib baik dan program-program pengajian yang memerlukan bantuan lonjakan untuk berkembang.

“Meluaskan cakupan program insentif dan geran bantuan kerajaan kepada belia-belia lepasan bidang kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” tambahnya.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, Bajet 2022 pastinya bakal memberikan kesan jangka panjang yang besar kepada dasar fiskal ekonomi negara.

“Langkah Kementerian Kewangan mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet wajar dilihat sebagai usaha reformasi belanjawan negara seterusnya memastikan ketelusan dan keterlibatan sebanyak mungkin pihak termasuk golongan belia dalam proses merangka bajet tahunan negara,” katanya.