Semua pihak perlu patuhi larangan KKM demi keselamatan: Sulaiman

Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali
A
A
A

MELAKA - Semua pihak termasuk parti politik diharap memberikan kerjasama dengan mematuhi beberapa larangan dikenakan Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka demi keselamatan dan kesihatan rakyat.

Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ini penting bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 akan terus dapat dikekang dan dikawal.

Beliau berkata, pendekatan lain yang boleh digunakan bagi berkempen adalah dengan menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain.

"Walaupun kaedah ini dilihat sesuatu perkara baharu, saya yakin semua parti bertanding telah bersedia dengan pendekatan yang mematuhi SOP (prosedur operasi standard) berkenaan. SOP ini perlulah diikuti untuk memastikan tiada penularan jangkitan...pada saya eloklah kita akur," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Deepavali kepada 160 penerima di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini.

Pada Sabtu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan selain aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial, penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya turut tidak dibenarkan berkuat kuasa hari ini hingga 27 November.

Berdasarkan pemantauan KKM, Khairy berkata, antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster Covid-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi SOP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

Artikel Berkaitan:

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman. - Bernama