Negara Asia Tenggara tunjuk trend penurunan kes Covid-19

Negara Asia Tenggara termasuk Malaysia menunjukkan trend penurunan kes Covid-19 sejak minggu epidemiologi (ME) ke-34.(Gambar hiasan)- Foto 123rf
Negara Asia Tenggara termasuk Malaysia menunjukkan trend penurunan kes Covid-19 sejak minggu epidemiologi (ME) ke-34.(Gambar hiasan)- Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Negara Asia Tenggara termasuk Malaysia menunjukkan trend penurunan kes Covid-19 sejak minggu epidemiologi (ME) ke-34.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Singapura dan Brunei menunjukkan trend peningkatan kes.

"Kedua-dua negara ini menunjukkan kadar kes bagi setiap 1 juta penduduk yang lebih tinggi berbanding Malaysia (180.91 kes) iaitu pada kadar 584.86 kes bagi Singapura dan Brunei, 499.88 kes," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menjelaskan situasi di dalam negara, beliau berkata, Malaysia pada ME ke-42 iaitu 17 hingga 23 Oktober menunjukkan kes baharu menurun sebanyak 20.7 peratus iaitu 52,321 kes kepada 41,508 kes (ME ke-42).

"Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 21.0 peratus iaitu daripada 105,497 kes pada ME ke-41 kepada 83,605 kes minggu seterusnya," katanya.

Beliau berkata, kes kematian juga merekodkan penurunan sebanyak 16.4 peratus iaitu daripada 593 kepada 496 kes pada ME ke-42.

"Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan penurunan 16.5 peratus iaitu 684 kepada 571 kes bagi tempoh sama manakala kes yang memerlukan bantuan pernafasan turut menurun kepada 250 kes berbanding minggu sebelumnya iaitu 292 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan (Rt) negara juga kekal stabil sekitar nilai 0.88.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kluster pula, sebanyak 56 kluster baharu dilaporkan pada ME ke-42," katanya.

Kluster tersebut terdiri daripada kluster tempat kerja (35), komuniti (sembilan), pusat pendidikan (tujuh), kumpulan berisiko tinggi (tiga) dan keagamaan (dua)," katanya.

Tambahnya, walaupun Malaysia menunjukkan penurunan kes, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) perlu terus diamalkan.

"Ini bagi mengelakkan peningkatan kes seperti negara-negara jiran setelah pembukaan sektor pendidikan dan ekonomi yang lain," katanya.