X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Duda miliki dadah dipenjara lima tahun, 13 sebatan

Mohd Hanzalah (tengah) dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan dikenakan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan 13 sebatan terhadap seorang duda atas tiga pertuduhan memiliki dadah pada Ogos tahun lalu.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Mohd Hanzalah Alias, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mempunyai kawalan terhadap dadah jenis methamphetamine seberat 30.23 gram di sebuah rumah di Kampung Gong Badak, Kuala Nerus, kira-kira jam 12 tengah hari pada 12 Ogos 2020.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sejurus pengakuan salah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan 10 sebatan bagi pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan kedua pula, tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengaku memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 7.85 gram di lokasi, waktu dan hari sama yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman dua tahun penjara dan tiga sebatan.

Berdasarkan pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 2.91 gram di lokasi, waktu serta hari sama dan dijatuhi hukuman dua tahun penjara.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 20 Ogos 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ramlan Taib.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!