X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Peniaga warung kekal ke tali gantung, bunuh pengutip besi buruk

Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengekalkan hukuman mati ke atas seorang peniaga warung kerana membunuh seorang pengutip besi buruk di Terengganu, enam tahun lalu. - Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengekalkan hukuman mati ke atas seorang peniaga warung kerana membunuh seorang pengutip besi buruk di Terengganu, enam tahun lalu yang kisahnya tular di media sosial kononnya kejadian bunuh itu berlaku bagi mempertahankan diri.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat sebulat suara menolak rayuan terakhir Mohamad Zulkifli Ismail, 56, selepas berpuas hati bahawa dapatan hakim Mahkamah Tinggi bergantung kepada keterangan yang relevan dan alasan penghakiman dikemukakan adalah lengkap dan teliti.

"Mahkamah berpendapat hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah dari segi undang-undang dan fakta dalam memberikan keputusan.

"Isu yang dibangkitkan oleh perayu (Mohamad Zulkifli) tidak mempunyai merit. Oleh itu, sabitan terhadap perayu adalah selamat dan rayuan perayu ditolak," kata Hakim Ong yang turut bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof.

Panel tiga hakim membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili Mohamad Zulkifli dan Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah.

Mohamad Zulkifli telah disabitkan dengan pertuduhan dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Mei tahun lalu kerana membunuh Zulkefle Abdullah, 37, di sebuah rumah di Kampung Labohan pada jam 10.30 pagi, 7 Disember 2015, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Tinggi pada 27 Mei 2018 turut menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atas Mohamad Zulkifli kerana menyebabkan kecederaan parah kepada orang kurang upaya (OKU) Faizul Awang, 37, yang kudung kaki kanan pada masa, hari dan tempat sama dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 10 Disember 2019.

Dalam prosiding pada Isnin, Ariff Azami memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi kes mencederakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan hanya meneruskan rayuan berhubung kes bunuh.

Mengikut fakta kes, ketika kedua-dua mangsa sedang mencari besi buruk dan berhenti di kawasan rumah perayu selepas melihat terdapat besi buruk di kawasan itu, perayu secara tiba-tiba meluru ke arah Zulkefle dan menikam dada kanannya serta menikam Faizul menggunakan parang.

Sebelum itu, Ariff Azami berhujah bahawa anak guamnya tidak berniat untuk membunuh mangsa dan hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana gagal mempertimbangkan bahawa tikaman tunggal pada dada kanan mangsa bukan dilakukan dengan sepenuh kekuatan serta senjata tidak ditinggalkan terus pada dada mangsa.

"Jika perayu berniat membunuh lelaki itu, sudah pasti tikaman adalah lebih dalam atau perayu menikam organ penting seperti dada sebelah kiri atau perut," kata peguam itu.

Bagaimanapun, Hakim Abdul Rahman mencelah dan menyatakan pakar patologi Dr Sri Marni Zainal Abidin dalam keterangannya berkata luka sedalam 10 sentimeter memadai untuk menyebabkan kecederaan dan kematian kepada mangsa kerana tikaman itu menyebabkan salur darahnya terputus.

Nahra pula berhujah bahawa perayu mengetahui parang yang digunakannya boleh menyebabkan kematian tanpa perlu mengetahui anatomi badan mangsa.

Kes pembunuhan itu mendapat perhatian ramai sebelum ini ekoran tular di media sosial yang mendakwa Mohamad Zulkifli melakukan perbuatan tersebut kerana mempertahankan diri daripada kedua-dua mangsa terbabit yang cuba merompak.

Kejadian tersebut membawa kepada penubuhan kumpulan ‘Selamatkan Zulkifli’ di laman sosial Facebook yang mencecah 71,000 pengikut dan turut menyiarkan pelbagai kenyataan negatif mempertikai kuasa polis menangkap Mohamed Zulkifli selepas kejadian dan proses perundangan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!