Nurul Amin kekal terajui Pemuda Pas Kedah

Nurul Amin (tengah) ketika hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kedah ke-55 yang diadakan di Kompleks Pas Kedah.
Nurul Amin (tengah) ketika hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kedah ke-55 yang diadakan di Kompleks Pas Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid kekal menerajui sayap parti Pas itu bagi sesi 2021-2023 apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kedah yang ke-55.

Jawatan Timbalan dan Naib Ketua juga menyaksikan Nasron Othman dan Aizat Zakaria mengekalkan kedudukan masing-masing.

Selepas diberikan kepercayaan memikul amanah menggerakkan Pemuda Pas, Nurul Amin menggariskan lima hala tuju dalam memimpin sayap parti itu agar terus relevan selain menyumbang dalam parti.

“Tugas Dewan Pemuda semakin mencabar dalam keadaan negara belum bebas daripada ancaman Covid-19. Semuanya agak terbatas dan lebih kepada aktiviti media sosial.

“Namun ia bukan penghalang untuk kukuhkan sayap parti menerusi pendekatan bersesuaian. Antara fokus utama adalah memastikan pengundi baharu di Kedah dianggarkan melebihi 400,000 orang yang akan didaftarkan secara automatik, mempunyai kesedaran untuk keluar mengundi serta melibatkan diri dalam politik,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Nurul Amin berkata, Pemuda Pas Kedah juga akan membantu mengekalkan kemenangan di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menambah kemenangan di beberapa DUN sasaran.

“Seiring dengan keperluan generasi muda yang merupakan sebahagian besar jumlah pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penekanan akan diberikan kepada penyediaan calon pilihan raya dari kalangan orang muda.

“Sebelum itu, kita perlu pastikan anak muda Kedah menerima dan memahami politik Islam yang dibawa Pas. Ini termasuk menjadikan mereka sebagai penyokong dan pendukung kerajaan negeri yang mengangkat tema ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kelima-lima aspek itu penting bagi menentukan masa depan negeri dan negara, selain mendekatkan anak muda dalam arus politik melalui pendaftaran automatik.

“Golongan muda sebagai pengundi perlu diberikan pendedahan awal mengenai ilmu politik dan siasah Islam, terutama pengundi 18 tahun.

“Pada masa sama, kami akan angkat isu anak muda seperti pengangguran, peluang pekerjaan, rumah pertama, pendidikan, pengurusan kewangan, kemudahan teknologi maklumat/internet, keperluan keluarga, bantuan perniagaan, kemahiran digital serta kebajikan mahasiswa,” katanya.

Nurul Amin berkata, dalam aspek kepimpinan, pihaknya mahu remaja dan belia lebih banyak mendekatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan persatuan, termasuk organisasi lebih besar di peringkat parti mahupun kerajaan.

“Cabaran paling besar ialah mendekatkan mereka kepada agama, ilmu, ulama, saham akhirat. Semua ini perlu dihadapi secara kekuatan jemaah.

“Saf kepimpinan baharu akan berusaha memastikan golongan muda Kedah seiring dengan perkembangan kemajuan yang sedang rancak di Kedah selain terus memberi sokongan kepada Pas sebagai gerakan Islam,” katanya.

Menurutnya, pengukuhan itu akan dilakukan menerusi pelbagai aktiviti menarik sesuai dengan anak muda, selain melahirkan tenaga mahir dalam bidang perkhidmatan dan pengurusan pentadbiran.

“Kami juga akan kukuhkan muafakat politik Melayu Islam dan bukan Islam yang mendukung aspirasi Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.

“Strategi dan pendekatan ini perlu diperkasakan kerana dengan kesatuan orang Melayu Islam sahaja dapat memastikan Pakatan Harapan dan DAP tidak kembali berkuasa,” katanya.