Doping: Keputusan pendengaran dua atlet angkat berat Disember ini

Azura (kanan) mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan Program Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 pada Isnin. - Foto Bernama
Azura (kanan) mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan Program Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN pendengaran terhadap dua atlet angkat berat kebangsaan yang dilaporkan positif doping dijangka diketahui selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pengarah Agensi Anti-Doiping Malaysia (Adamas), Azura Abidin berkata, jawatankuasa pendengaran yang mendengar hujah atlet pertama pada 21 Oktpber lalu bakal menemu bual seorang lagi atlet pada Sabtu ini.

“Jawatankuasa pendengaran diberi masa sehingga Disember ini untuk keluarkan keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 di Bangi dekat sini pada Isnin.

Sementara itu, Azura menegaskan Adamas tidak akan campur tangan dalam sebarang keputusan dibuat jawatankuasa pendengaran dianggotai tiga individu yang dilantik berhubung kes doping itu.

Katanya, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan seorang individu dan dianggotai dua lagi ahli panel bebas dari ekosistem sukan tempatan daripada bidang perundangan dan perubatan.

Isu doping yang melanda dua atlet berkenaan pada bulan lalu menyaksikan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju membubarkan skuad sedia ada.

Keputusan pembubaran skuad berkenaan menyaksikan kesemua empat jurulatih dan 13 atlet terlibat diberikan notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 November ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: