Kanak-kanak 'tidak bernegara’ dapat kerakyatan Malaysia

Peguam bela (dari kanan) Datuk Nicholas Kow, Ong Yu Shin dan Oii Keng Liang yang mewakili seorang kanak-kanak perempuan lima tahun yang dilahirkan di negara ini oleh seorang wanita warga China dan sebelum ini memegang status 'tidak bernegara' memohon kerakyatan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin. - Foto Bernama
Peguam bela (dari kanan) Datuk Nicholas Kow, Ong Yu Shin dan Oii Keng Liang yang mewakili seorang kanak-kanak perempuan lima tahun yang dilahirkan di negara ini oleh seorang wanita warga China dan sebelum ini memegang status 'tidak bernegara' memohon kerakyatan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang bapanya rakyat Malaysia dan dilahirkan di negara ini oleh seorang wanita warga China, pada Isnin berjaya mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed membenarkan permohonan kanak-kanak itu yang sebelum ini memegang status 'tidak bernegara’ supaya Ketua Pendaftar Kelahiran dan Kematian Malaysia mendaftarkan semula taraf kewarganegaraan kanak-kanak berkenaan sebagai warganegara Malaysia.

Dalam penghakimannya, beliau memutuskan kanak-kanak itu memenuhi syarat kelayakan sebagai warganegara kerana memenuhi Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu bapanya seorang warganegara Malaysia serta dilahirkan di Malaysia dan tidak dilahirkan sebagai warganegara negara lain.

Hakim itu membuat keputusan tersebut selepas membenarkan saman pemula yang difailkan kanak-kanak itu melalui bapanya pada Disember 2019.

Dalam permohonan tersebut, kanak-kanak itu memohon supaya Ketua Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Malaysia mendaftarkan semula taraf kewarganegaraannya sebagai warganegara Malaysia.

Pemohon juga memohon Ketua Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Malaysia mendaftarkan semula kelahirannya sebagai orang sah taraf dan menamakan bapanya yang berumur 38 tahun sebagai bapa kandung dan ibunya, 39 tahun, sebagai ibu kandung.

Alasan pemohon memfailkan saman pemula itu antaranya pemohon berhak menjadi warganegara Malaysia dengan cara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Pemohon berkata, berdasarkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) bertarikh 18 November 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Malaysia, menyatakan bahawa lelaki berumur 38 tahun itu adalah bapa kandungnya.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Ong Yu Shin, Ooi Keng Liang dan Datuk Nicholas Kow mewakili pemohon.

Yu Shin, semasa ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, hakim memutuskan isu sama ada taraf perkahwinan ibu bapa semasa kanak-kanak itu dilahirkan sah atau tidak adalah tidak relevan dengan kes tersebut.

"Ini kerana kanak-kanak berkenaan dilahirkan di Ipoh pada 24 Jun 2016 dan tiada pasport luar negara atau kerakyatan negara lain," katanya. - Bernama