Skuad negara raih kemenangan sulung

Kesebelasan pemain yang beraksi pada perlawanan berkenaan. - Foto FB FAM
Kesebelasan pemain yang beraksi pada perlawanan berkenaan. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD Bawah 22 tahun (B-2) negara meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Laos 1-0, pada aksi sulung peringkat kumpulan bagi aksi Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, petang tadi.

Gol tunggal hasil jaringan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-68 itu sudah cukup memadai untuk menjamin kemenangan skuad negara pada aksi kelayakan berkenaan.

Keputusan itu juga dilihat mencerahkan peluang buat skuad kendalian Brad Maloney itu untuk mara ke kelompok 16 pasukan terbaik pada Piala Asia B-23 yang dijadualkan berlangsung di Tashkent pada Jun 2022, berikutan Mongolia dan Thailand terikat 1-1 pada perlawanan terdahulu.

Kedua-dua pasukan dilihat agak berhati-hati ketika memulakan perlawanan di atas padang rumput tiruan.

Bagaimanapun, Malaysia kemudiannya dilihat berjaya mengawal bola pada peringkat awal permainan sambil sesekali sempat melakukan percubaan ke pintu gol Laos.

Skuad negara hampir membuka jaringan pada minit ke-30 apabila lorongan kapten Mukhairi Ajmal Mahadi tepat kepada Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.

Namun, Muhammad Nur Azfar Fikri terlebih dahulu dikesan berada pada kedudukan ofsaid.

Peluang terbaik skuad negara hadir pada minit ke-36 apabila jentera serangan berjaya menembusi benteng pertahanan lawan, namun rembatan penyerang, Luqman Hakim Shamsudin, berjaya diselamatkan penjaga gol Laos, Solasak Thilavon.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua menyaksikan skuad negara berpeluang untuk meledak jaringan hasil sepakan percuma Nik Akiff Syahiran Nik Mat pada minit ke-49, namun rembatannya tinggi melewati palang gol.

Selepas percubaan berkenaan, kedua-dua pasukan dilihat semakin menggandakan asakan dalam usaha menjaringkan gol, namun percubaan-percubaan yang dilakukan dilihat gagal menepati sasaran selain dipatahkan benteng pertahanan lawan masing-masing.

Malaysia akhirnya berjaya menjaringkan gol hasil jaringan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-68 yang menyambut baik lorongan pemain gantian, Quentin Cheng.

Gol itu diilhat semakin menyemarakkan semangat pemain negara untuk terus mengasak ke pintu gol Laos dalam usaha menambah jaringan.

Bagaimanapun, tidak ada tambahan jaringan berjaya dilakukan hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad negara kini memimpin Kumpulan J dengan tiga mata dan dijadualkan berdepan tuan rumah, Mongolia pada aksi kedua peringkat kumpulan, Khamis ini.

MALAYSIA - Muhammad Azri Ghani, Muhammad Azrin Afiq, Harith Haiqal Adam, Muhammad Azam Azmi, Muhammad Mukhairi Ajmal (kapten), Nik Akif Syahiran, Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Syafik Ismail, Muhammad Nur Azfar, Ahmad Zikri Khalili, Muhamad Umar Hakeem

LAOS - Solasak Thilavon, Phoutthavong Sangvilay, kiitisak Phomvongsa, Anantaza Siphongphan, Xeedee Pomsavanh, Anousone Xaypanya, Phathana Phommathep, Kydavone Souvanny, Chony Wenpaserth, Bounphachan Bounkong (kapten), Ekkamai Ratxachak