KMI Healthcare sasar bina empat hospital baharu menjelang 2025

KMI Healthcare melalui KMI Chukai Medical Centre Sdn Bhd (KMI Chukai) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menandatangani MoU bagi pembangunan sebuah
hospital swasta di Kampung Jaya, Chukai, Kemaman, pada Isnin.
KMI Healthcare melalui KMI Chukai Medical Centre Sdn Bhd (KMI Chukai) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menandatangani MoU bagi pembangunan sebuah hospital swasta di Kampung Jaya, Chukai, Kemaman, pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) milik kerajaan negeri Terengganu menyasarkan pembinaan empat buah hospital baharu menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Rayney Azmi Ali berkata, antara lokasi terlibat ialah Kemaman, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Temerloh, Pahang dan Pulau Pinang.

"Pembinaan hospital ini merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan strategik lima tahun KMI Healthcare bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan," katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Wisma Darul Iman, pada Isnin.

Pada majlis itu, KMI Healthcare melalui KMI Chukai Medical Centre Sdn Bhd (KMI Chukai) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah menandatangani MoU bagi pembangunan sebuah

hospital swasta di Kampung Jaya, Chukai, Kemaman.

Hadir sama menyaksikan MoU itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi KMI Healthcare, Datuk Raja Idris Raja Kamarudin.

Mengulas lanjut, Dr Rayney berkata, hospital di Kemaman dijangka akan dibina pertengahan 2022 dengan kapasiti 100 katil perseorangan di atas tanah berkeluasan 2.18 hektar milik MPK dengan anggaran kos RM100 juta.

"KMI Healthcare juga cuba menerapkan konsep mesra ibadah dalam setiap cara kerja atau rawatan yang diberikan kepada pesakit bagi mencapai aspirasi menjadi rangkaian hospital patuh syariah dan diyakini masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya apabila hospital ini siap kelak, penduduk di bahagian selatan Terengganu berpeluang menikmati perkhidmatan kesihatan dan rawatan kepakaran yang berkualiti tinggi," katanya.

Setakat ini terdapat lima hospital di bawah rangkaian KMI Healthcare iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre di sini, KMI Kuantan Medical Centre, Pahang; KMI Kelana Jaya Medical Centre, Selangor; KMI Taman Desa Medical Centre, Kuala Lumpur dan KMI Tawau Medical Centre, Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata, KMI Healthcare menyasarkan pendapatan RM220 juta sebelum akhir tahun ini menerusi lima hospital sedia ada.

"Setakat September 2021, KMI Healthcare telah memperolehi RM163 juta dan kita yakin sasaran RM220 juta itu dapat dicapai dalam tempoh lebih dua bulan lagi," katanya.

KMI Healthcare merupakan bahagian penjagaan kesihatan milik anak syarikat negeri Terengganu, TDM Berhad iaitu sebuah syarikat korporat yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia dengan dua bidang utama iaitu penjagaan kesihatan dan perladangan.