Cuepacs desak Ganabatirau mohon maaf secara terbuka

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terkilan dengan tindakan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau yang disifatkan tidak profesional.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat menganggap tindakan Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning mengeluarkan kata-kata kesat serta suara tinggi terhadap penjawat awam sangat keterlaluan.

"Ia seolah-olah merendahkan penjawat awam sedang bertugas, tambahan pula penjawat awam terbabit dalam kejadian itu tidak diberi peluang untuk menjelaskan permasalahan yang berlaku.

"Sebagai anggota pentadbiran yang turut bersama terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri, beliau sewajarnya menyelesaikan permasalahan yang timbul menerusi rundingan secara terus dengan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Adnan berkata demikian bagi mengulas video tular di media sosial didakwa membabitkan Ganabatirau yang memaki hamun kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam pada itu, Adnan juga kecewa apabila video itu dikatakan dimuat naik sendiri ADUN terbabit di laman sosial.

Katanya, tindakan Ganabatirau menularkan video itu seolah-olah mahu menunjukkan diri beliau sebagai seorang 'hero' dengan meletakkan semua kesalahan kepada penjawat awam tanpa memberi peluang sebarang penjelasan diberikan oleh kakitangan JPS yang terlibat.

"Adalah wajar sekiranya ADUN Kota Kemuning itu menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pandangan atau masalah dan bukannya membuat serangan secara terbuka di lapangan serta media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Cuepacs percaya ADUN Kota Kemuning itu mempunyai akses untuk bertemu dengan JPS Negeri serta Exco negeri (Selangor) lain yang bertanggungjawab dalam permasalahan tersebut," katanya.

Adnan berkata, Cuepacs mendesak ADUN terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam terutama kakitangan JPS yang terlibat.

"Cuepacs juga mahu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari masuk campur dalam perkara ini supaya tindakan yang sama tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Katanya, adalah tidak wajar anggota pentadbiran kerajaan negeri bertindak menyerang penjawat awam kerana ia ibarat menuding jari untuk meletakkan kesalahan pada orang lain tetapi sebenarnya masalah itu turut melibatkan diri mereka.

"Seharusnya penjawat awam dan anggota pentadbiran kerajaan negeri bekerjasama dengan baik bagi menyelesaikan permasalahan rakyat dan bukannya bertindak menyalahkan satu sama lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Ganabatirau ada sidang akhbar khas petang ini