50 penuntut terpikat 'janji manis' untung wang kripto

Salah seorang mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat minggu lalu.
Salah seorang mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat minggu lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 50 penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini mendakwa kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan skim cepat kaya pembelian mata wang kripto.

Terpikat dengan janji manis dan keuntungan didakwa boleh melebihi satu peratus sehari dan 30 peratus sebulan itu, mereka juga sanggup menggunakan wang simpanan dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masing-masing.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Yusoff, 19, berkata, dia dan rakan-rakannya mula menyertai pelaburan berkenaan pada awal Jun lalu dan mereka difahamkan akan mendapat pulangan keuntungan melebihi satu peratus sehari.

"Saya lihat iklan pelaburan ini dalam aplikasi WhatsApp yang dikongsi rakan-rakan dan mula masukkan RM130 ke dalam akaun berkenaan sebelum mendapat pulangan dalam masa sebulan.

"Ketika itu saya tidak mengeluarkan wang diperoleh, sebaliknya menambahkan lagi jumlah pelaburan. Namun sejak dua minggu pertama pada Oktober, saya dan raka-rakan yang lain tidak dapat keluarkan duit masing-masing.

Antara pelaburan yang dilakukan seorang mangsa ke akaun berkenaan.
Antara pelaburan yang dilakukan seorang mangsa ke akaun berkenaan.

"Malah sehingga satu tarikh, kami juga tidak dapat melihat jumlah wang dalam akaun berkenaan dan lebih memeritkan keesokan harinya aplikasi yang digunakan untuk melihat wang simpanan tersebut hilang serta digantikan dengan aplikasi sama, namun 'perniagaan' yang lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Seorang lagi mangsa, Rehal, 22, berkata, dia sanggup menggunakan duit PTPTN semata-mata untuk menggandakan wang berkenaan dengan niat membantu keluarganya.

Artikel Berkaitan:

"Menyesal pun tiada guna, kini kami terpaksa menanggung bebanan hutang, ada yang bergadai, ada yang pinjam duit keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.

"Ada di antara rakan saya yang tampil buat laporan polis dan sebagainya. Kami berharap selepas ini, tiada yang terkena seperti kami, harap pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima 21 laporan termasuk daripada penuntut IPTA di bandar ini dengan jumlah kerugian didakwa hampir RM900,000 selepas membuat pelaburan berkenaan sejak 18 Oktober.

"Jumlah kerugian dilaporkan hampir RM900,000 dengan setiap mangsa mendakwa rugi antara RM140 hingga RM200,000 seorang.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.