Muhammad Qayyim, Mariam johan tilawah peringkat negeri

Muhammad Qayyim (kiri) dan Mariam (kanan) bergambar bersama pada Majlis Pengurniaan Hadiah Menghafaz dan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1440 Hijrah/ 2019 Masihi di Dewan Besar Kompleks Islam Darulnaim, semalam. - Foto Bernama
Muhammad Qayyim (kiri) dan Mariam (kanan) bergambar bersama pada Majlis Pengurniaan Hadiah Menghafaz dan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1440 Hijrah/ 2019 Masihi di Dewan Besar Kompleks Islam Darulnaim, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Muhammad Qayyim Sarimi dan Mariam Jusoh muncul johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1440H/2019M yang berlangsung di Kompleks Islam Darulnaim di sini, malam tadi.

Muhammad Qayyim dari jajahan Kota Bharu yang mengumpul 81.98 peratus markah dan Mariam Jusoh dari jajahan Pasir Puteh (70.99 peratus) masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej menunaikan ibadah umrah, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili negeri Kelantan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban bermula 17 hingga 22 Mac ini.

Majlis pengurnian hadiah kepada pemenang disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, serta Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Johan qari Muhammad Qayyim yang merupakan remaja cacat penglihatan, membuktikan kecacatan sejak lahir yang dialaminya bukan penghalang beliau berjaya dalam bidang ini.

“Ternyata usaha saya membuat persediaan setiap hujung minggu termasuk mendapat tunjuk ajar beberapa bekas qari kebangsaan di negeri antaranya Yahya Daud tidak sia-sia, apabila ia membuahkan hasil walaupun dalam keadaan diri seperti ini,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau juga telah dinobatkan sebagai johan qari Tilawah Al-Quran peringkat negeri Kelantan pada 2017.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, pada tahun ini seramai 164 orang peserta hafiz dan hafizah menyertai ujian hafazan manakala, bagi kategori tilawah seramai 20 orang qari dan qariah masing-masing mewakili jajahan masing-masing. - Bernama