KPDNHEP rampas beg sandang tiruan bernilai RM31,100

Anggota penguatkuasa KPDNHEP merampas beg sandang yang dijual menggunakan cap dagangan tidak sah melalui platform E-dagang dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan di Batu Caves, Khamis lalu.
Anggota penguatkuasa KPDNHEP merampas beg sandang yang dijual menggunakan cap dagangan tidak sah melalui platform E-dagang dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan di Batu Caves, Khamis lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas sebanyak 3,110 beg sandang bernilai RM31,100 yang dijual menggunakan cap dagangan tidak sah melalui platform E-dagang dalam serbuan di sebuah stor penyimpanan di Batu Caves, Khamis lalu.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan kerana dipercayai menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan dan pengesahan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar berhubung dengan perlakuan penyalahgunaan cap dagang tanpa kebenaran pemilik sah.

"Bertindak terhadap aduan itu, satu pemeriksaan serbuan telah dilaksanakan ke sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan dan pusat pengurusan jualan barangan secara dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Muhamad Zikril berkata, berdasarkan pengesahan awal ke atas barangan yang dijumpai di premis itu disyaki barangan menggunakan cap dagang tanpa kebenaran pemilik cap dagang.

"Pengesahan ini dibuat oleh wakil cap dagang yang hadir bersama semasa serbuan dijalankan.

"Lelaki terbabit telah ditahan dalam serbuan dan rakaman percakapan diambil bagi tujuan siasatan selain kesemua beg sandang dan beberapa dokumen urus niaga lain turut dirampas," katanya.

Artikel Berkaitan: