KBS setuju terima pakai Kod Anti-Doping Dunia 2021

No Image Caption
A
A
A

BANGI - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju menerima pakai Kod Anti-Doping Dunia 2021 untuk digunakan di peringkat dalaman negara,selaras dengan artikel-artikel yang terkandung di dalam standard antarabangsa, Kod Anti-Doping Dunia 2021.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Kod Anti-Doping Dunia 2021 itu diterjemahkan pelaksanaannya melalui peraturan Anti-Doping dan standard antarabangsa yang telah ditetapkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

“Untuk itu, kerajaan melalui Agensi Anti-Doping Malaysia(ADAMAS) perlu menerima pakai Kod Anti-Doping Dunia 2021 ini serta menterjemahkan pemakaiannya di dalam negara ini melalui Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021.

“Ingin saya tekankan disini bahawa sebagai badan sukan induk dan badan sukan kebangsaan, semua perlu bertanggungjawab dan tertakluk kepada pematuhan kepada kod anti-doping dunia dan peraturan anti-doping masing-masing selaras dengan standard antarabangsa yang telah ditetapkan.

“Selain itu juga, badan sukan perlulah menghormati autonomi ADAMAS selaku badan anti-doping kebangsaan dan melaporkan sebarang salah laku dan perlanggaran peraturan anti-doping dalam kalangan atlet atau pegawai-pegawai sokongan atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 anjuran ADAMAS di Hotel Tenera disini pada Isnin.

Seminar yang diadakan secara hibrid itu bertujuan memberikan pemahaman mengenai perubahan utama yang terkandung di dalam Kod Anti-Doping Dunia 2021 dan Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 selain menjadikan ia sebagai medan perkongsian dan perbincangan berkaitan isu doping dalam kalangan rakan strategik dan pemegang taruh.

Pada majlis tersebut juga, Faizal turut menyaksikan sesi menandatangani dokumen penerimaan Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 yang melibatkan kepimpinan tertinggi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan semua ahli gabungan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Penerimaan peraturan tersebut merupakan antara syarat pematuhan kepada Kod Anti-Doping Dunia 2021 yang menetapkan bahawa MOM,MPM dan semua ahli gabungan masing-masing mengiktiraf ADAMAS selaku agensi yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal Anti-Doping di Malaysia di samping menerima pakai Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dalam semua urusan di peringkat masing-masing.

Dalam pada itu, Faizal berkata, apabila semua pihak bekerjasama dalam memastikan kepatuhan kepada kod dan peraturan anti-doping itu, beliau yakin Malaysia tidak perlu khuatir sekiranya diaudit oleh pihak WADA.

“Apa yang menjadi kerisauan kita adalah sekiranya Malaysia tersenarai sebagai tidak patuh (non-compliant) sebagaimana yang telah berlaku kepada dua buah negara jiran kita iaitu Thailand dan Indonesia.

“Ketidakpatuhan ini merugikan negara kerana bukan setakat kita akan hilang kelayakan menganjurkan sebarang kejohanan sukan di peringkat antarabangsa, malah atlet-atlet negara tidak dibenarkan mengibarkan bendera negara di mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa yang disertai,” katanya.