PRN Melaka: Bersatu akur larangan berhimpun, SOP kempen perlu diselaras

Ronald Kiandee- Foto fail Bernama
Ronald Kiandee- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menetapkan larangan berhimpun sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memaksa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melaksanakan pelarasan daripada segi kempen.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pelaksanaan SOP berkenaan diakui mengganggu kempen calon yang bertanding, namun pihaknya akur dengan ketetapan tersebut.

"Sudah tentu larangan berhimpun akan mengganggu aktiviti kempen seperti sedia kala, jadi kita terpaksa buat pelarasan.

"Tapi pelarasan harus memberi kesamarataan kepada semua, tidak hanya kursus kepada satu parti kerana SOP terpakai kepada semua ketika PRN," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) di di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya reaksi berhubung kenyataan dikeluarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Ahad yang melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Ketetapan diumumkan itu dibuat meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan SOP PRN dalam masa terdekat.

Khairy dilaporkan berkata, SOP yang bakal diumumkan SPR terpakai waktu kempen bermula membuatkan KKM khuatir ada banyak majlis politik sebelum itu yang tidak mematuhi SOP.

Mengulas lanjut, Ronald Kiandee berkata, apa sahaja SOP dikeluarkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) wajar dipatuhi sebagaimana yang telah dilaksanakan sejak hampir dua tahun negara berdepan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa kita perlu akur kepada SOP. Sejak dua tahun lalu, kita sentiasa patuh dan mengikuti apa sahaja SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan KKM.

"Jadi tiada beza ketika berhadapan dengan pilihan raya, tentu sekali semua pihak perlu akur apa sahaja SOP ditetapkan," katanya.