Penyokong United patut dapat keputusan lebih baik: Ronaldo

Ronaldo sifatkan penyokong United wajar menerima keputusan yang lebih baik. - Foto EPA
Ronaldo sifatkan penyokong United wajar menerima keputusan yang lebih baik. - Foto EPA
A
A
A

TONGGAK Manchester United, Cristiano Ronaldo menyifatkan penyokong-penyokong kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sewajarnya mendapat keputusan yang lebih baik ketika berdepan Liverpool di Old Trafford, pada awal pagi Isnin.

Malah menurut Ronaldo, berdasarkan kepada keupayaan pasukan pada masa ini, skuad The Red Devils itu seharusnya memenangi perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, aksi longlai yang dipamerkan pemain dilihat sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan 0-5 kepada The Reds.

"Adakalanya, bukanlah keputusan seperti ini yang kita perjuangkan ketika beraksi di padang.

“Kadang-kadang jaringan ini juga bukan sesuatu yang kita mahukan pada penghujung perlawanan.

“Dan semua yang terhasil ini sebenarnya terletak pada kita, hanya kerana selain itu tiada siapa yang boleh dipersalahkan,” katanya.

Pada pertembungan dua seteru tradisi itu, jaringan hatrik Mohamed Salah, Naby Keïta dan Diogo Jota membantu Liverpool mengatasi Manchester United 5-0.

Kekalahan itu juga turut melebarkan kemarau kemenangan The Red Devils kepada empat perlawanan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Keputusan di Old Trafford itu menyaksikan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer tercicir ke tangga ketujuh liga, lapan mata di belakang pendahulu Chelsea.

Sementara itu, Ronaldo kagum dengan penyokong-penyokong United yang dilihat tetap memberikan sokongan padu pada perlawanan berkenaan.

“Penyokong-penyokong setia Manchester United sekali lagi tampil luar biasa dan menakjubkan apabila sekali lagi memberikan sokongan padu berterusan dalam setiap perlawanan.

"Oleh itu, penyokong-penyokong Manchester United berhak mendapat yang lebih baik malah lebih baik daripada ini selepas ini.

“Kini terpulanglah kepada para pemain The Red Devils untuk menyampaikan keputusan terbaik buat penyokong-penyokong kelab ini. Inilah masanya!" kata Ronaldo lagi di laman sosialnya.