Pulau Tioman bakal jadi lokasi pendaratan penyu

Halina (kiri) bersama 80 pelancongan dan penduduk setempat melepaskan anak penyu jenis agar di Pulau Tulai, Toiman pada Ahad
Halina (kiri) bersama 80 pelancongan dan penduduk setempat melepaskan anak penyu jenis agar di Pulau Tulai, Toiman pada Ahad
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang mahu menjadikan Pulau Tioman sebagai lokasi pendaratan penyu di Pahang.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, bagi tujuan itu, pihaknya melepaskan 400 anak penyu jenis agar di kawasan terbabit sebagai usaha meningkatkan jumlah pendaratan reptilia itu di pusat peranginan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan rekod cawangan Taman Laut Pulau Tioman mendapati terdapat 20 pendaratan membabitkan 10 ekor penyu jenis agar dan lipas di sekitar Pulau Tioman tahun ini.

"Kita bukan hanya kesan pendaratan reptilia itu di Pulau Tulai tetapi juga di Kampung Juara dan beberapa kampung lain di sekitar Pulau Tioman.

"Boleh dikatakan hampir setiap tahun ada aktiviti pendaratan penyu itu di kawasan perairan pusat peranginan ini. Jadi disebabkan itu kita mahu menjadikan Pulau Tioman sebagai salah satu lokasi singgahan penyu bertelur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, sebanyak 400 anak penyu jenis agar dilepaskan di Pulau Tulai, Tioman sempena Program Kesedaran Awam Terhadap Kepentingan Pemuliharaan Sumber Maritim Pahang 2021 yang turut disertai lebih 80 pelancong dan penduduk setempat.

Program dihadiri Ketua Cawangan dan Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan Pahang, Halina Hashim

Dalam pada itu, Abdullah menjelaskan, selepas ini pihaknya akan mengadakan program pelepasan anak penyu dari masa ke masa selain melakukan kempen kesedaran jangan makan telur penyu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap anak penyu yang dilepaskan itu dapat kembali ke lokasi pelepasan untuk bertelur dalam masa 30 hingga 35 tahun akan datang.

"Kehadiran reptilia ini nanti dapat menambahkan lagi produk pelancong di Pulau Tioman.

"Kita ingin menjadikan Pulau Tioman sebagai antara lokasi pendaratan penyu yang terkenal suatu hari nanti, mungkin sama dengan Cherating, Kuantan yang terkenal di negara ini," katanya.