Pemilik bengkel lori dikompaun sebabkan pencemaran sungai

Pegawai JAS melakukan pemeriksaan di Sungai Kubang Semang. Pegawai JAS melakukan pemeriksaan di kawasan premis yang menyebabkan punca pencemaran sungai Kubang Semang.
Pegawai JAS melakukan pemeriksaan di Sungai Kubang Semang. Pegawai JAS melakukan pemeriksaan di kawasan premis yang menyebabkan punca pencemaran sungai Kubang Semang.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun RM30,000 terhadap sebuah premis penyelenggeraan kenderaan komersial dan lori yang menyebabkan pencemaran Sungai Kubang Semang di sini.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati premis tersebut gagal menyelenggara perangkap minyak dan 'oil interceptor' dengan baik hingga menyebabkan berlakunya pencemaran minyak ke dalam kawasan sungai terbabit.

"Susulan daripada aduan orang awam yang diterima pada 23 Oktober lalu, pegawai JAS telah menjalankan siasatan awal ke atas lokasi pencemaran buangan minyak di Sungai Kubang Semang di Jalan Permatang Nibong, di sini.

"Siasatan awal yang dijalankan sekitar 4 kilometer sepanjang Sungai Kubang Semang telah mengesan kilauan minyak (oil sheen) pada jam 11 malam dan pemeriksaan lanjut sehari kemudiannya mendapati pelepasan buangan minyak tersebut adalah berpunca daripada salah sebuah premis penyelenggaraan kenderaan komersial/lori (fleet operator) berhampiran sungai terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Keadaan salah sebuah premis penyelenggaraan kenderaan komersial/lori yang beroperasi berhampiran Sungai Kubang Semang.
Keadaan salah sebuah premis penyelenggaraan kenderaan komersial/lori yang beroperasi berhampiran Sungai Kubang Semang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, premis berkenaan yang menjalankan perniagaan kontrak pengangkutan komersial bersama dengan beberapa syarikat petrokimia utama di negara ini, turut didapati gagal menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Selain itu katanya, premis itu juga gagal menyediakan individu yang berwibawa bagi menguruskan buangan terjadual seperti kehendak Seksyen 49A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pemeriksaan lanjut pada hari sama mendapati parit monsun di dalam kawasan premis turut dicemari buangan minyak yang berpunca daripada oil interceptor, kawasan penstoran buangan terjadual dan ruang pembasuhan (washing bay) kenderaan berat.

Artikel Berkaitan:

"Tumpahan minyak juga dikesan di atas tanah berhampiran tangki diesel di dalam kawasan premis terbabit," jelasnya.

Justeru, arahan serta-merta telah dikeluarkan kepada pemilik premis itu untuk menghentikan pelepasan buangan minyak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak yang telah memasuki Sungai Kubang Semang dengan kadar segera bagi mengawal sebarang impak alam sekeliling yang lebih serius.

Katanya, kompaun RM30,000 dikenakan ke atas syarikat fleet operator tersebut kerana gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, pihaknya memandang serius isu pencemaran ini dan tindakan yang lebih tegas akan dikenakan kepada pemilik premis bagi kesalahan-kesalahan lain yang mungkin ditemui semasa pemeriksaan susulan.

Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang gagal menguruskan buangan terjadual.

" JAS Pulau Pinang juga telah mengeluarkan notis arahan kepada pemilik premis untuk menjalankan pembersihan di kawasan yang telah tercemar serta menanggung sepenuhnya kos terlibat.

"Premis itu juga diarahkan menjalankan kajian tanah tercemar dan menanggung sepenuhnya kos kajian dan pembersihan," ujarnya.