Mahkamah benarkan Shafee urus pengajian anak di New York

Muhammad Shafee. - Foto fail Bernama
Muhammad Shafee. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 27 Oktober hingga 30 November ini.

Ia bagi membolehkan Muhammad Shafee menguruskan pengajian anak lelakinya di New York, Amerika Syarikat.

Terdahulu, hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, membenarkan permohonan itu selepas tiada bantahan daripada pihak responden.

Perkara tersebut kemudian disahkan Timbalan Pendakwa Raya, S. Nithia yang memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.

Pada prosiding itu, Muhammad Shafee diwakili peguam Wee Yeong Kang.

Perbicaraan kes Muhammad Shafee sepatutnya bersambung 14 Oktober lalu dengan berbaki tiga lagi saksi pendakwaan akan dipanggil memberikan keterangan.

Muhammad Shafee didakwa dengan dua tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Dia didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee turut berdepan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Prosiding akan bersambung semula pada Selasa dan melapangkan tarikh pada November ini.- Awani