Malaysia sedia benarkan kemasukan 32,000 pekerja ladang asing

Zuraida membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi di Kementerian Perdagangan, Indonesia bagi meningkatkan kerjasama dalam perdagangan sawit dunia.
Zuraida membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi di Kementerian Perdagangan, Indonesia bagi meningkatkan kerjasama dalam perdagangan sawit dunia.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia sudah bersedia untuk membenarkan kemasukan seramai 32,000 pekerja ladang asing termasuk dari Indonesia.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam kenyataannya memaklumkan, perkara itu dizahirkan oleh Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam pertemuan dengan tiga anggota kabinet Indonesia ketika lawatan rasmi beliau ke negara itu.

"Namun, kebenaran itu bergantung kepada perjanjian persefahaman (MOU) yang akan dipersetujui dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Kata kenyataan tersebut, prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu telah siap dibangunkan oleh Malaysia dan akan menjadi perintis kepada sektor lain.

"SOP berkenaan dirangka dengan mengambil kira keperluan pematuhan kesihatan dan keselamatan negara," kata kenyataan tersebut.

Pertemuan dua hala berkenaan membabitkan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto, Menteri Perdagangan, Muhammad Lutfi dan Menteri Tenaga Kerja, Ida Fauziyah.

Menurut KPKK, bagi Indonesia, penghantaran pekerja ke Malaysia memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.

"Keputusan ini dianggap sebagai situasi menang-menang bagi rakyat Indonesia kerana mereka akan mendapat pekerjaan dan pendapatan lumayan sementara Malaysia pula dapat menyelesaikan masalah kekurangan pekerja yang mengakibatkan kerugian besar kepada industri sawit," kata kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kedua-dua negara sepakat memperkukuhkan kerjasama bagi melindungi industri sawit.

"Malaysia dan Indonesia menzahirkan kebimbangan berikutan kempen anti minyak sawit oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU), Australia dan Oceania. Dalam hal ini, kedua-dua negara menerusi Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan berusaha menggembleng usaha memerangi kempen berkenaan.

"Kempen tersebut bercanggah dengan komitmen EU kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk mengamalkan amalan perdagangan bebas. Kementerian ini bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan industri sawit dan akan berusaha sehabis baik bagi melindungi industri sawit agar terus berkembang serta memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara serta rakyat," kata KPKK.