PGA rampas mercun, rokok tidak bercukai

Tiga suspek yang ditahan PGA Simpang Renggam menerusi operasi berkenaan.
Tiga suspek yang ditahan PGA Simpang Renggam menerusi operasi berkenaan.
A
A
A

KLUANG - Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas pelbagai jenis mercun dan rokok seludup bernilai RM5,469 susulan penahanan tiga lelaki dalam satu operasi di Jalan Parit Haji Hashim di sini pada Ahad.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Dimin Awang berkata, tiga suspek yang membabitkan dua warga Pakistan berusia 21 hingga 29 tahun itu diberkas kira-kira jam 5.30 petang hasil daripada risikan dan maklumat orang awam.

“Kesemua suspek ini dipercayai aktif membekalkan mercun dan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit di sekitar kawasan Simpang Renggam sejak lima bulan lalu.

“Menerusi tangkapan ini, kita kemudiannya telah menemui sejumlah barangan berupa 29 kotak mercun dan 28 karton rokok tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM 5,469,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dimin berkata, tangkapan dan rampasan kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957(Akta 207).

“Kita percaya tangkapan dan rampasan ini amat membantu dalam memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran mercun serta rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Simpang Renggam, Johor.

“Justeru, saya juga ingin meminta kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: