Kerajaan kemuka usul ungkai tujuh ordinan darurat

Wan Junaidi. - Foto Bernama
Wan Junaidi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengemukakan usul untuk membahas dan mengungkaikan tujuh ordinan darurat di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Ordinan darurat itu adalah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 serta Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Usul itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata, Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

"Kerajaan akan memastikan pengungkaian ketujuh-tujuh ordinan ini tidak akan menjejaskan pengawalan ancaman pandemik demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dan ketenteraman awam serta pemulihan ekonomi negara.

"Proklamasi Darurat dilaksana untuk membolehkan ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu dalam mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak Covid-19 dengan lebih serius di negara ini," katanya.

Menurutnya, ia kerana gelombang ketiga wabak Covid-19 yang melanda negara bermula September 2020 menunjukkan peningkatan kes positif dan jumlah kematian naik begitu mendadak.

Artikel Berkaitan:

Wan Junaidi berkata, sehingga Ahad, jumlah keseluruhan jangkitan adalah 2,426,050 kes dengan 77,305 kes aktif dan 28,354 kematian.

"Melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pengambilmilikan sementara tanah, bangunan dan harta alih telah dibuat untuk menempatkan serta menguruskan pesakit positif Covid-19 dan bukan pesakit Covid-19.

"Bagi tujuan ini Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) di bawah milikan Universiti Kebangsaan Malaysia telah diambil alih," katanya.

Selain itu, tambah beliau, sejak Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 dikuatkuasa bermula 12 Mac hingga 7 Oktober lalu, sebanyak 30 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) ordinan itu.

Jelasnya, ia untuk dilakukan tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau pihak yang didapati memuat naik atau menyebar berita tidak benar mengenai Covid-19 serta Proklamasi Darurat.