Penternak lembu, peniaga ikan berdepan hukuman mati

Tertuduh ketika di bawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada Isnin.
Tertuduh ketika di bawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang penternak lembu dan peniaga ikan, berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadap ke Mahkamah Majisteret Port Dickson atas pertuduhan membunuh rakannya pada dua minggu lalu.

Tertuduh, S Vickna Raja, 32, dan saudaranya, R Kalaichelvam, 45, yang memakai baju lokap berwarna jingga hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majisteret, V Vanita, pada Isnin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Paul Krishna Raja.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka pada 12 Oktober lebih kurang jam 6.30 petang hingga 13 Oktober jam 8 pagi bertempat di Pasar Mini di Jalan Linggi, Kampung Air Kuning telah didapati membunuh seorang lelaki bernama, A Kannan, 44.

Oleh yang demikian, mereka dituduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman mati.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 8 Disember ini.

Kedua-dua mereka sebelum ini, dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban bagi pertuduhan menyebabkan cedera parah kepada seorang lelaki bernama, V Arumugam, 70, yang merupakan ayah kepada si mati, dengan menggunakan senjata parang, yang boleh menyebabkan kematian di lokasi yang sama.

Artikel Berkaitan:

Mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Harullah.

Oleh yang demikian, kedua-dua mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Atiqah Abu Hassan dan tiada jaminan ditawarkan manakala kes akan disebut semula pada 25 Disember ini.

Kedua-dua tertuduh akan dihantar ke Penjara Jelebu untuk tahanan reman penjara.